Home Nasional Esok keputusan permohonan tangguh ambil alih tanah kuil Seafields

Esok keputusan permohonan tangguh ambil alih tanah kuil Seafields

kuil
Kuil Sri Mariamman, USJ 25, Putra Heights, Subang Jaya, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 26 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Shah Alam dijangka akan mengumumkan keputusan berhubung permohonan seramai 50 penganut Hindu menangguhkan perintah mahkamah sebelum ini yang membenarkan pengambilalihan semula tanah di tapak Kuil Sri Maha Mariamman esok.

Keputusan yang dijangka akan diumumkan pada jam 2.30 petang  itu membenarkan pengambilalihan semula tanah di tapak Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya, oleh pemiliknya, One City Development Sdn Bhd (One City).

Permohonan pertama adalah permohonan plaintif untuk menangguhkan prosiding sementara menunggu untuk inisiatif oleh Peguam Negara menurut Seksyen 9 Akta Prosiding Kerajaan.

Kesemua defendan tidak mempunyai sebarang bantahan terhadap permohonan tersebut kecuali defendan kedua iaitu Sime UEP.

Permohonan kedua pula mendapatkan injunksi interim untuk mengekalkan status quo kuil tersebut sementara menunggu pembatalan prosiding.

Permohonan ketiga adalah permohonan oleh Defendan Kedua (Sime UEP Properties Bhd), Defendan Ketiga dan Keempat (Pengarah Perancang Bandar dan Desa Negeri Selangor / Kerajaan Selangor) dan Defendan Kelima (One City Development Sdn Bhd) untuk membatalkan tuntutan Plaintif -Plaintif.

Plaintiff- Plaintiff di wakili oleh Tetuan Vas & Co dengan peguamcara yang mengendalikan kes ini adalah termasuk Vasanthi Arumugam, Vasanthan Gopalan, T Rajasekaran,  Noor Farazidah dan Dinesh Kunasegar.

Prihatin dengan keadaan semasa dan bebanan ditanggung oleh pengurusan kuil, MIC berbesar hati untuk menanggung segala kos berkaitan kes tersebut.

Sebelum ini, Malaysia Gazette pernah melaporkan barisan peguam MIC telah berjaya mendapatkan perintah injuksi sehingga 11 Januari yang kemudian dianjak kembali kepada 13 Februari bagi penangguhkan One City bagi mendapatkan semula tapak kuil itu.

Presiden MIC merangkap Ahli Dewan Negara, Tan Sri SA Vigneswaran memberitahu keseluruhan masyarakat India khasnya penganut serta penyokong kuil tidak perlu bimbang dan resah dengan keputusan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi pada November tahun lepas.

“Kita akan berjuang menggunakan jalan perundangan dengan berbekalkan peguam handalan kita pada masa yang sama. Semoga semua bertenang.

“Perintah injuksi ini juga memberikan peluang kepada semua pihak termasuk pihak berkuasa untuk menjimatkan kos dan tenaga serta masa kerana tidak perlu bimbang seandainya ada insiden rusuhan sehingga keputusan mahkamah kelak.

“Kita sangat prihatin kerana ini bukan isu kerajaan atau pembangkang, ini adalah sentimen masyarakat India yang Kita perlu ambil perhatian serius. Ini juga adalah perjuangan selama lebih 60 tahun, Kita akan berkerjasama dengan kerajaan untuk memastikan keharmonian serta keamanan ini terjaga tidak kira apa jua,” tegasnya.

MGF21102018_PENGEMUMAN KEPUTUSAN PEMILIHAN MIC05
Presiden MIC, Tan Sri S. A. Vigneswaran

Pada 14 November pula, Peguam Negara, Tommy Thomas memberi khabar gembira semua pihak bertelagah dalam isu kuil Seafield telah mencapai satu persetujuan baharu merangkumi hak milik tanah dan pengurusan amanah.

Peguam Negara selaku penjaga kepentingan awam berkaitan amanah khairat, akan memohon mahkamah mengeluarkan satu perintah membentuk amanah dan melantik pemegang-pemegang amanah bagi menguruskan amanah dan kuil itu. – MalaysiaGazette

Isu kuil: MIC pula berjaya dapat injuksi sehingga 11 Januari