KUALA LUMPUR – Penerimaan tujuh ahli Parlimen UMNO ke dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menandakan Tun Dr Mahathir Mohamad secara tersirat mengisytiharkan ‘perang’ dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim khusus untuk terus kekal sebagai Perdana Menteri.
Langkah Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu menurut Ahli Majlis Teringgi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam akan lebih agresif untuk menguatkan sokongannya menerusi menarik lebih ramai lagi ahli parlimen pembangkang untuk bersama-sama dengan memastikan Anwar tidak mengantikannya.
“Bila Mahathir berani terima orang ini memasuki Bersatu, ini bermakna beliau sudah pun bersedia untuk melawan Anwar dan mungkin dia sudah berjaya meyakinkan DAP.
“Perkembangan terkini menunjukkan Mahathir sudah isytihar perang dan Mahathir hanya akan isytihar perang bila beliau ada jumlah MP yang cukup bersamanya untuk membentuk kerajaan tanpa MP yang menyebelahi Anwar.
“Dalam erti kata lain, bersedialah untuk menerima hakikat bahawa pasti ada lagi 20-24 orang MP UMNO akan seberang ke Bersatu,” katanya menerusi kenyataan media malam tadi.
Justeru itu ujar Lokman, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perlu kembali bertugas sebagai Presiden UMNO dan bekerjasama dengan Datuk Seri Najib Razak dalam membalas serangan PH.
Namun, katanya jika Ahmad Zahid melihat tiada keperluan untuk kembali semula menggalas tugas tindakan sebaiknya adalah pemilihan UMNO diadakan semula demi mengundi presiden baharu selain
Ahmad Zahid perlu memimpin serangan ke atas PH dengan penuh ketegasan dan jangan biarkan Najib berperang sendirian, tambahnya.
“Kami ahli-ahli UMNO akan tetap bersama pemimpin-pemimpin UMNO yang dianiaya PH walaupun diakhir perperangan ini MP UMNO yang bersama kita hanya tinggal kurang dari 10 orang,” katanya. -MalaysiaGazette