Home Nasional Amanah tolak campur tangan AS dalam Venezuela

Amanah tolak campur tangan AS dalam Venezuela

Mohamad Sabu
Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara menolak perbuatan jijik dan campur tangan negara asing khususnya Amerika Syarikat dan sekutunya dalam menentukan kepimpinan Venezuela.

Presidennya, Mohamad Sabu berkata, hanya rakyat yang berhak menentukan hala tuju pentadbiran negara itu dan bukannya pihak asing.

“Amanah berpandangan, biarlah rakyat Venezuela menentukan nasib masa depan dan kerajaan mereka tanpa sebarang campur tangan asing.

“Ia penting bagi menamatkan krisis kemanusiaan ini yang memberikan kesan buruk kepada seluruh rakyat negara itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamad juga berkata, sekatan oleh Amerika Syarikat dan sekutunya telah menyebabkan berlakunya krisis ekonomi di negara itu.

“Ini menyebabkan berjuta-juta pekerja asing pulang ke negara masing-masing dan sebilangan kecil rakyatnya berhijrah meninggalkan Venezuela,” kata Menteri Pertahanan itu.

Venezuela adalah sebuah negara merdeka yang berjaya bebas dari penjajahan melalui revolusi rakyat.

Negara ini kemudian berkembang maju hasil industri minyak sehingga menarik jutaan pekerja-pekerja dari negara jiran datang mencari rezeki.

Beberapa pilihan raya telah diadakan di peringkat Parlimen memperlihatkan penurunan sokongan terhadap parti yang didokong Nicolas Maduro.

Bagaimanapun pada pilihan raya presiden yang lalu Maduro mencapai kemenangan dengan begitu besar dan keadaan ini tidak disenangi oleh AS.

Negara kuasa veto itu tidak mengiktiraf Maduro sebagai presiden Venezuela yang sah sebaliknya  telah melantik Ketua Pembangkang, Juan Guaido sebagai ke jawatan itu. – MalaysiaGazette