KUALA LUMPUR – Barisan Nasional yang ditunjangi UMNO mempunyai kelebihan sekiranya Pilihanraya Umum ke-14 diadakan lebih awal, kata bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam.
Jelasnya, meskipun barisan pembangkang bercadang untuk mengagihkan pembahagian kerusi dengan cara baharu bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru namun perkara tersebut tidak mudah untuk dilaksanakan.
“Cadangan tersebut sangat bagus tetapi lebih mudah bercakap daripada melaksanakannya.
“Saya sendiri tidak boleh meramalkan mereka mampu menyelesaikan agihan kerusi tersebut sebelum pilihanraya berlangsung.
“Barisan Nasional terutamanya UMNO pula mempunyai kelebihan yang sangat besar kerana masih mempunyai sokongan kuat daripada rakyat luar bandar dan orang Melayu manakala pemimpin pun terus memberi tumpuan kepada golongan tersebut.
“Perkara ini diketahui oleh pihak pembangkang namun mereka sendiri tidak mampu menandingi UMNO di dalam hal ini kerana satu demi satu parti baharu di pihak pembangkang muncul sedangkan sasaran mereka adalah orang yang sama.
“Saya rasa perkara ini akan jadi lebih mudah jika parti pembangkang tidak terlalu banyak,” katanya ketika ditanya mengenai prospek PRU-14 ketika majlis resensi buku beliau, Frankly Speaking di sini hari ini.
Negarawan yang pernah dilabelkan sebagai “Perdana Menteri yang Malaysia tidak pernah ada” itu bagaimanapun enggan mengulas lebih lanjut kerana situasi politik di negara ini sangat tidak menentu dan sukar diramal.
Namun beliau tegas dengan pendirian bahawa undi orang Melayu menjadi faktor penentu penting kepada kemenangan dalam PRU-14 nanti.- MalaysiaGazette