KUALA LUMPUR: Pereka fesyen terkenal, Ezuwan Ismail akan keluar dengan ‘rekaan’ terbaharunya yang lain darpada yang lain.
Rekaannya kali ini adalah lagu single yang bertajuk Semalam Saja selepas menyertai kumpulan yang menggelarkan diri mereka E1 Band.
Kata Ezuwan, kehadirannya bersama E1 yang anggotanya juga berlatarbelakangkan fesyen lebih khusus dalam bidang model.
“Latar belakang kami sama iaitu fesyen kerana dua anggota E1 Band yang lain ialah model. Namun, kami juga ada suara dan bakat, bukan menjual rupa semata-mata,” katanya.
Single yang akan disiarkan 4 petang ini di siaran Youtube tambah Ezuwan bakal mengetengahkan juga elemen fesyen, seperti mana penyanyi antarabangsa praktikkan iaitu Lady Gaga dan Sia.
“Lady Gaga dan Sia adalah antara penyanyi yang mengetengahkan konsep itu. Mungkin kerana masih baharu di sini, jadi konsep yang cuba E1 Band ketengahkan belum jelas di mata ramai,” tambahnya.
Ezuwan berkata, dia sudah bersedia untuk berhadapan dengan kecaman netizen dengan single baharu ini nanti.
“Apa juga yang dibuat, pasti ada pro dan kontra. Itu sudah resam dan jika ada yang mahu mengutuk, terserah…
“Kami masuk bidang seni untuk memeriahkan industri, pada masa berkongsi bakat yang ada. Sebelum merakamkan single, saya sempat menyertai kelas vokal.
“Guru vokal memaklumkan, suara saya ada potensi, cuma perlu digilap dan sentiasa berlatih,” katanya lagi.
Semalam Saja dihasilkan komposer yang juga penyanyi terkenal, Asfan Shah dan dilancarkan di semua pelantar digital hari ini.-MalaysiaGazette