Home Seni Hidup Semakin agresif, Zarina terpaksa beri anak kembarnya ubat

Semakin agresif, Zarina terpaksa beri anak kembarnya ubat

KUALA LUMPUR – Memiliki dua anak lelaki menghidap autisme, Zarina Zainuddin kini akur terhadap keperluan memberikan  Azal dan Azil ubat.

Ini katanya berpunca daripada tindakan agresif kedua-dua anak kembarnya itu setelah meningkat remaja yang kini sering mengasari dirinya dan suami.

“Saya buntu kerana tidak tahu pendekatan yang perlu diambil. Pada mulanya, saya enggan membiarkan mereka bergantung kepada ubat.

“Ini kerana tubuh mereka jadi lemah dan tidak berselera untuk makan selepas diberi ubat itu.

“Namun, rentetan kejadian kelmarin, saya terpaksa memberi Azal dan Azil ubat dalam dos yang sedikit. Kadang kala, saya dan suami tidak dapat mengawal tenaga mereka yang semakin membesar,” katanya merujuk video di Instagram menunjukkan Azal sedang mengamuk dalam kereta sehingga menggigit bahunya.

Tindakan anaknya itu mengakibatkan Zarina menangis kerana tidak tahan rasa sakit.

Malah suami Zarina juga ada kalanya digigit dan dicakar anak autismenya.

Pelakon itu mengakui sering sedih apabila memikirkan nasib kedua-dua anak lelakinya jika dia dan suami sudah tiada.

“Bengkak mata saya memikirkan nasib Azal dan Azil jika kami sudah tiada lagi,” katanya lagi. -MalaysiaGazette