SEMENYIH – Barisan Nasional (BN) tidak akan sesekali menggunakan ‘politik wang’ untuk menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) N24 Semenyih, sebaliknya hanya akan menggunakan modal ‘air liur’ sahaja.
Itu jawapan Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan atau lebih lebih mesra dengan panggilan ‘Tok Mat’ apabila diasak wartawan berhubung penggunaan wang bagi memancing undi penduduk Semenyih pada PRK pada 2 Mac ini.
Jelas Mohamad, pihaknya tidak pernah menggunakan wang untuk memenangi pengundi, sebaliknya usaha keras dan ikhlas kepada rakyat sudah cukup membuktikan kesungguhan bagi memenangi hati warga Semenyih.
“BN tidak main politik wang, kita main politik air liur sahaja,” selorohnya diikuti gelak tawa dalam kalangan pimpinan BN dan Pas.
Tok Mat kemudian menyambung dengan mengatakan bagaimana BN boleh menggunakan politik wang apabila semua wangnya sudah dibekukan.
“Kita yakin dengan usaha keras kita, kita yakin dengan calon tempatan yang kita ada. Kita juga tidak akan memperkecilkan kemampuan kita, memang ini bukan satu persaingan yang senang apatah lagi calon lawan dalam kalangan parti oleh Perdana Menteri sendiri.
“Tetapi kita juga yakin dengan diri kita juga. Kita akan guna strategi kita sendiri, tentunya jentera kerajaan akan digunakan sehabis baik tetapi BN juga akan bekerja dengan kuat sekali.
“Kita juga jangan selalu bercakap tentang isu remeh temeh seperti warna kasut dan lupa untuk bercakap tentang apa yang jauh lebih penting seperti dasar yang memerlukan perhatian. Kita perlu faham kesengasaraan dilalui oleh rakyat,” katanya dalam sidang media sebentar tadi.
Beliau yang diminta mengulas tentang kajian badan penyelidik pilihan raya, Institut Darul Ehsan (IDE) pada 31 Jan hingga 1 Feb 2019 yang mendedahkan PH mendahului kemenangan dengan sembilan peratus berkata, BN tidak gentar.
“Menurut kajian dari pihak kami pula, kita sedang mendahului juga. Masing-masing boleh cakap, kita tengok nanti macam mana,” ujarnya.
IDE mendakwa sokongan terhadap PH masih tinggi dengan 46 peratus berbanding parti Barisan Nasional (BN) yang hanya mendapat 37 peratus pada PRK Semenyih kali ini.
Mohamad juga menolak dakwaan segelintir pihak yang menuduh UMNO menggunakan isu perkauman seperti elemen agama serta bangsa untuk menarik pengundi Melayu Islam.
“Saya tanya anda balik, apa salahnya kalau kita menyeru kepada yang Islam dan Melayu bersatu padu? Tunjuk kepada saya mana peruntukan undang-undang yang menyatakan tidak boleh.
“Ini juga sudah membelakangan undang-undang dan perlembagaan antarabangsa. UMNO dan Pas seru Melayu bersatu tidak ada salahnya, saya tidak nampak apa-apa salah di situ,” tegasnya.
PRK Semenyih dijangka ditandingi tiga penjuru antara calon PH, BN dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).
PRK Semenyih akan diadakan pada 2 Mac ini dengan kerusi berkenaan kosong selepas kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor pada awal pagi 11 Jan lalu.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Bakhtiar merampas kerusi Semenyih dengan kemenangan selesa apabila mendapat 23,428 undi dengan majoriti 8,964 undi. – MalaysiaGazette