KUALA LUMPUR – Sekiranya pembentangan pindaan Rang Undang-undang Persendirian Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (pindaan 2016) atau (Akta 355) diambil alih oleh kerajaan Barisan Nasional (BN), Pas mahukan agar hukuman terhadap pesalah dikekalkan.
Naib Presiden Pas, Idris Ahmad berkata parti itu amat mengharapkan agar BN mengekalkan jumlah hukuman yang dicadangkan oleh Datuk Seri Abdul Hadi sekiranya benar-benar kerajaan mahu mengambil alih pindaan berkenaan daripada tangan Pas.
“Kita mahukan supaya pindaan itu dikekalkan. Sebagaimana yang dibawakan Presiden mengenai hukuman 100 sebatan, itu sangat berprinsip kepada Pas.
“Jangan BN nak pinda dibawah apa yang telah Pas tetapkan,” katanya dalam satu sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pas kawasan Titiwangsa kali ke 32.
Pindaan yang dibawa Hadi sejak Mei tahun lalu masih belum dibahaskan secara rasmi di Dewan Rakyat.
Malah pada 24 November tahun lalu, Hadi turut membawa usul di Dewan Rakyat dengan pindaan daripada segi hukuman dengan mencadangkan bagi menaikkan had hukuman penjara kepada 30 tahun, denda hingga RM100,000 dan maksimum 100 kali sebatan.
“Kita harap supaya pindaan ini dibentangkan, soal kalah undi (di Parlimen) itu soal lain.
“Kalau kerajaan BN nak bentang kita harap akan dibentang, itu sahaja,” ujar Idris lagi.
Hukuman syariah buat masa ini ditetapkan pada hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun, denda hingga RM5,000 dan maksimum enam kali sebatan.
Pindaan keatas pindaan itu dibuat pada sesi Dewan Rakyat lalu, selepas mesyuarat bersama dengan anggota parlimen BN yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata kerajaan merancang untuk mengambil alih rang undang-undang itu selepas bacaan kedua jika usul itu diluluskan di Parlimen. -MalaysiaGazette.