KUALA LUMPUR – Semua 47 warga Malaysia yang ditahan di Penjara Provinsi Banteay Meanchey dibebaskan lewat petang ini, selepas beberapa rundingan dengan kerajaan Kemboja dan Malaysia.
Ketua NGO Antarabangsa, Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican yang mengesahkan perkara itu berkata, keputusan meluluskan pembebasan itu dibuat Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen selepas mendapati semua tahanan itu ditipu sindiket ejen pekerjaan.
“Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Kemboja, Oknha Datuk Dr Othsman Hassan, kita sudah melihat dan meneliti semua perkara yang tahanan dari Malaysia terdaya oleh sindiket ejen perkerjaan.
“Kita juga melihat dari segi hubungan diplomatik kedua-dua negara yang sudah lama terjalin,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.
Khamis lalu, Wisma Putra mengesahkan laporan penahanan 47 rakyat Malaysia itu sejak 11 Disember tahun lalu atas pertuduhan menipu, membuka dan menjalankan aktiviti perjudian dalam talian secara haram.
Mustapha berkata, selain Wisma Putra, beberapa pemimpin dan wakil rakyat dari Sarawak turut berada di Kemboja beberapa hari lalu untuk membincangkan penyelesaian bagi membebaskan tahanan terbabit.
Dalam pada itu, ibu salah seorang tahanan, Zunita Sedini sebelum ini berkata, anaknya Yusuf Islam bersama 46 lagi rakyat Malaysia dijanjikan peluang pekerjaan dengan bayaran lumayan sehingga AS$1,500 (lebih RM6,000) namun semuanya hanya sandiwara kerana setibanya di Kemboja, mereka tidak mendapat pekerjaan dijanjikan. – Bernama