KAJANG – Tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku di sepanjang tempoh penamaan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih yang mengambil tempat hari ini.
Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof, keadaan terkawal dan tiada unsur-unsur keganasan dikesan di luar Dewan Seri Cempaka, disini hari ini.
“Keseluruhan dalam tempoh penamaan calon ini situasi terkawal dan penyokong bagi setiap parti adalah 100 bagi setiap parti telah masuk seawal jam 7 pagi tanpa sebarang insiden dan situasi terkawal sehingga kini,” katanya ketika ditemui media di perkarangan Dewan Seri Cempaka, Majlis Perbandaran Kajang.
Tambah Ahmad Dzaffir, seramai 1,115 pegawai dan anggotanya lain-lain pangkat ditempatkan di sekitar dewan penamaan calon bagi memastikan perjalanan proses penamaan berjalan lancar.
PRK Semenyih diadakan ekoran kematian penyandangnya, dari Pakatan Harapan (PH), Bakhtiar Mohd Nor, 57, meninggal dunia di Hospital Kajang pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) 9 Mei lalu, Bakhtiar menewaskan penyandangnya daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Johan Abdul Aziz serta dua lagi calon iaitu Mad Shahmiour Mad Kosim (PAS) dan S Arutchelvan mewakili Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Bakhtiar mengalahkan Johan daripada UMNO yang menjadi wakil rakyat di kerusi itu selama dua penggal dengan majoriti 8,964 undi selepas memperoleh 23,428 undi.
PRK Semenyih adalah yang keempat diadakan di Selangor selepas PRU-14. Sebelum ini, Selangor sudah mengadakan tiga PRK iaitu di DUN Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong. -MalaysiaGazette