KUALA LUMPURĀ – Lembaga Tabung Haji (TH) dijangka memotong lebih banyak subsidi pada tahun-tahun akan datang susulan perkembangan dasar baharunya terhadap perayu awal dan pengiring haji tahun ini.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau juga tidak menolak kemungkinan pemberian hibah turut terjejas kepada lebih 9 juta pendeposit TH pada masa akan datang.
“Melihat perkembangan dan kenyataan-kenyataan TH di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) baru-baru ini, saya jangka lebih banyak lagi subsidi haji akan dipotong.
“Manakala Hibah TH tidak akan tinggi lagi untuk tahun-tahun mendatang,” katanya menerusi akaun Facebooknya, hari ini.
Khamis lalu, pentadbir akaun Facebook Lembaga Tabung Haji (TH) berkata, subsidi haji hanya diberikan kepada bakal jemaah yang terpilih bagi tahun semasa yang menunaikan haji buat kali pertama secara Muassasah.
Bagi pengiring atau yang merayu dan berjaya, ini bermakna mereka pergi menunaikan haji lebih awal dari tahun peruntukan dan tidak layak mendapat subsidi haji.
Bagaimanapun Mujahid dalam satu sidang media berkata, kerajaan memberi jaminan jumlah bayaran subsidi bagi jemaah haji muassasah TH yang menunaikan haji kali pertama akan kekal pada RM9,980.
Jelasnya, meskipun berdepan pelbagai cabaran, TH berusaha menanggung subsidi lebih RM306 juta susulan peningkatan kos haji tahun ini sebanyak RM22,900 seorang berbanding RM22,450 pada musim haji lalu. – MalaysiaGazette