KUALA LUMPUR – Sebanyak 234 kertas undi pos bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, telah dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), hari ini.
Menurut pengerusinya, Azhar Azizan Harun, kesemua kertas undi harus dikembalikan semula kepada Pegawai Pengurus PRK DUN N.24 Semenyih sebelum jam 5 petang pada hari pengundian.
“Semua penghantaran dibuat kepada pengundi-pengundi terbabit pada hari yang sama iaitu pada 17 Februari 2019.
“Manakala bagi kertas undi pos Polis PGA ianya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk diserahkan kepada pengundi terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini
Dalam pada itu, SPR turut mengingatkan kepada semua pengundi pos agar tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial.
“Sekiranya perbuatan ini dilakukan, tindakan undang-undang akan diambil dan jika disabitkan serta didapati bersalah boleh dikenakan hukuman sewajarnya,” katanya lagi.
Seramai 32 orang pengundi seperti di negara Australia, Jerman, Romania, Russia, Iran, Austria, India, Morocco, Jepun, UAE dan Brunei merupakan penjawat awam yang bertugas di luar negara dan pasangannya serta pelajar sepenuh masa dan pasangan masing-masing.
Manakala 199 orang pengundi lagi yang meliputi 106 orang petugas pilihan raya dan 93 orang anggota polis PGA turut diberikan kertas undi pos
Sejumlah tiga pengundi dari Korea Selatan dan Jepun turut menerima kertas undi mereka yang tergolong dalam kategori warganegara Malaysia yang berada di luar negara. -MalaysiaGazette