Home Politik Emosi punca masyarakat India pilih PH pada PRU-14

Emosi punca masyarakat India pilih PH pada PRU-14

Mendiang Presiden Parti IPF, Datuk M. Sambathan

KAJANG – Pada PRU-14, masyarakat India khasnya di Semenyih didakwa sangat terikut-ikut perasaan sehingga memberikan undi kepada Pakatan Harapan (PH) dengan niat mahu menumbangkan Barisan Nasional (BN).

Malah dengan politik kebencian yang telah disemai kononnya masyarakat India telah dianiayai menyebabkan rata-rata daripada mereka telah memberikan undi bagi ‘mengajar’ kerajaan BN.

Begitu dakwaan Presiden Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF), Datuk M. Sambathan kepada Malaysia Gazette ketika di hari ini.

Kata Sambathan yang juga Ahli Dewan Negara, beliau telah didatangi rata-rata masyarakat khasnya berbangsa India sejak kebelakangan ini bagi meluahkan rasa kecewa selepas kemenangan besar PH pada PRU-14.

Jelasnya, antara kawasan yang menjadi kubu kuat IPF selama lebih 50 tahun adalah Semenyih dan pihaknya sangat memahami kehendak dan harapan penduduk di kawasan itu selama ini.

“Pengundi dalam penyokong dan ahli IPF sahaja sekurang-kurangnya dalam 2,000 orang. Mereka juga telah mengundi PH pada PRU-14 lepas. Hakikatnya, mereka kecewa setelah sekian banyak sangat isu menghantui mereka tidak pernah nampak kesudahannya.

“Apa yang lebih menyedihkan lagi apabila mereka ini juga menjadi mangsa ‘pembohongan serta politik kebencian sehingga membenci kerajaan terdahulu untuk semua perkara.

“Saya beri anda contoh, isu Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Semenyih berhubung pertikaian tanah selama puluhan tahun. Benar, ada pihak termasuk yang berkepentingan menuding jari kepada kerajaan BN khasnya MIC.

“Pada masa yang sama, mana perginya kerajaan negeri Selangor yang telah berkuasa selama lebih 10 tahun?

“Mereka walaupun ada kuasa tetapi tidak pula campur tangan. Ada juga pihak yang telah menemui saya tentang isu, IPF juga cuba sedaya upaya. Tapi seperti PRU lepas, kini PRK, anda masih mahu tuding jari?

“Hakikatnya, rakyat nampak dan juga celik. Kita telah dihampiri dan diberitahu betapa kecewanya mereka, mereka tidak nampak kesungguhan ketika musim kempen dan selepas kemenangan. Semuanya pusingan ‘U’ dan tuding jari sahaja.

“Saya berani cakap, kita akan nampak peningkatan sokongan, masyarakat India sebenarnya beremosi ketika memberi undi pada masa itu, kini banyak isu yang masih lagi memyelubungi yang masih tidak dapat diselesaikan.

“Jika janji manifesto itu sendiri kini PH buat pusingan ‘U’ yang sangat besar malah kata mereka tidak seharusnya semua janji itu dapat dan perlu ditepati malah ianya bukan kitab suci atau Bible, jawapan angkuh seperti ini yang akan bawa musibah pada PRK ini,” katanya.

Pengundi India di Semenyih sebanyak 7062 atau 13 peratus daripada 54,000 pengundi sementara Cina pula seramai 8939  atau 16.8 peratus manakala lain-lain pula sebanyak tujuh peratus atau 399.

Manakala pengundi Melayu pula sebanyak 36,857 atau 69 peratus.

Jelas Sambathan lagi, kebanyakan yang dijanjikan juga telah gagal dilaksanakan dengan pastinya rata-rata rasa tertekan dan juga kerana rasa tertipu setiap kali menjelangnya pilihan raya.

“Berapa tol yang telah dihapuskan oleh PH sehingga kini? Mereka juga sebenarnya telah berkuasa di beberapa negeri termasuk di sini, berapakah pemansuhan tol? Di sini sahaja, kita ada beberapa tol, bayangkan penduduk terpaksa membayar lebih RM5 saban kali.

“Apa pula jadi dengan pembayaran balik PTPTN atau mengurangkan minyak? Isu-isu membabitkan sekolah Tamil dan juga permasalahan kuil?

“Kalau saya hendak sebut, berjela-jela panjangnya. Saya tidak kata, kita menang dan terus tukar tampuk kuasa, memang kerajaan PH masih lagi akan berkuasa tetapi mesej kita akan menjadi lebih jelas bahawa sudah tiba masanya jangan bermain-main dengan ‘kuasa rakyat’.

“Jangan datang sini dan taburkan pelbagai jenis janji, kemudian hilang atau tuding jari selain memberikan pelbagai jenis alasan sehingga ke pilihan raya seterusnya,” tegasnya.

Dalam pada itu, Sambathan juga turut mengakui jentera BN sedang bertungkus lumus termasuk IPF bekerjasama dengan MIC dalam memastikan sekurang-kurangnya 3,000 hingga 5,000 pengundi India beralih arah.

“Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan atau Tok Mad telah meminta kepada saya supaya dapat memberikan undi sekurang-kurangnya 5,000 undi dalam masyarakat India. Seperti UMNO dan Pas sedia bekerjasama atas prinsip perjuangan yang sama, kami dalam IPF dan MIC juga berbuat demikian.

“Apa yang pasti, kita hanya mementingkan kemenangan itu sahaja. Suara rakyat itu perlu didengari,” tegasnya. –MalaysiaGazette

IPF dan gerak kerja wanita