Home Ekonomi KWSP terokai peluang pelaburan di Amerika Latin

KWSP terokai peluang pelaburan di Amerika Latin

Tunku Alizakri Raja Muhammad Alias

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sedang meneroka peluang pelaburan di Amerika Latin.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tunku Alizakri Raja Muhammad Alias berkata, pelaburan itu dilakukan melalui pengurus dana di negara-negara yang disasarkan seperti Brazil dan Colombia.

“KWSP terus mengintai pelaburan di pasaran luar dan kini kami sudah meneroka pasaran di Amerika Latin. Memandangkan kita tidak begitu terdedah dengan pasaran di sana, kita menggunakan bantuan pengurus sana.

“Meskipun begitu, pasaran yang KWSP teroka adalah negara-negara yang berpotensi baik,” katanya pada sidang media di sini.

Tunku Alizakri berkata, disebabkan KWSP masih belajar untuk memahami pasaran di sana, maka jumlah pelaburan yang dikeluarkan adalah kecil.

KWSP, menurutnya, akan mengambil masa dua hingga tahun untuk memahami pasaran-pasaran berkenaan sebelum meluaskan pelaburannya di Amerika Latin.

Tegasnya, 40 peratus pelaburan KWSP tahun lalu dipacu daripada pelaburan luar negara.

Ini kerana, peluang untuk mendapatkan pulangan pendapatan yang tinggi adalah lebih besar dan meluas di luar negara berbanding pelaburan di pasaran tempatan yang agak terhad.

KWSP melabur sejumlah RM222.61 bilion di 40 buah negara atau 64 peratus, sementara pelaburan di dalam negara mewakili 34 peratus.

Dalam pada itu, Tunku Alizakri menambah, KWSP akan mengkaji semula peruntukan aset strategiknya pada tahun ini.

Kajian itu dilakukan setiap tiga tahun.

Pada tahun 2018, pelaburan dalam pendapatan tetap masih mewakili pelaburan terbesar iaitu 57.55 peratus kepada RM29.28 bilion, susut sebanyak 6.96 peratus berbanding RM31.47 biliion pada 2017.

Bagi tinjauan 2019, Tunku Alizakri berkata, keadaan tidak menentu ekoran pertikaian perdagangan antara Amerika Syarikat dan China, selain isu Brexit.

KWSP mempunyai 14 juta pencarum dan menguruskan dana sejumlah RM800 bilion.

“KWSP perlu menjana RM7.72 bilion untuk membayar setiap 1 peratus dividen,” ujarnya.

Sabtu lalu, KWSP mengumumkan dividen sebanyak 6.15 peratus bagi Simpanan Konvensional dan 5.9 peratus untuk Simpanan Syariah.

Pendapatan pelaburan kasar KWSP pada tahun lalu adalah sebanyak RM50.88 bilion. – MalaysiaGazette