Home Ekonomi Pelabur asing kembali jadi penjual minggu lalu

Pelabur asing kembali jadi penjual minggu lalu

Pelabur asing menjual sejumlah AS$704.3 juta ekuiti minggu lalu berbanding AS$705.4 juta pada minggu sebelumnya. - MIDF Research

KUALA LUMPUR – Pelabur asing menjadi penjual bersih pada minggu lalu, dengan melupuskan sebanyak RM369.2 juta daripada Bursa Malaysia.

Berdasarkan data dari bursa, dana asing mengeluarkan sebanyak RM369.2 juta daripada ekuiti tempatan, aliran keluar bersih asing mingguan terbesar dalam tempoh lapan minggu,” kata MIDF Research.

Firma penyelidikan itu berkata, belian bersih asing lima hari berakhir pada hari Isnin selepas pelabur-pelabur global menjual sejumlah RM41.6 juta ekuiti tempatan.

Pelabur asing kembali perlahan-lahan ke bursa pada hari Selasa dengan membeli sebanyak RM6.6 juta ekuiti – paras terendah sehari sejak awal November tahun lalu.

Bagaimanapun, kata firma penyelidikan itu, sebanyak RM122.1 juta ekuiti dikeluarkan oleh dana-dana asing pada hari Rabu selepas para pelabur tidak mempedulikan kenyataan Presiden Donald Trump yang sedia memberi fleksibiliti kepada rundingan perdangan dengan Beijing.

Bursa tempatan susut 2.11 mata atau 0.1 peratus untuk ditutup pada 1,685 mata, paras terendah sepanjang minggu ini.

Sementara itu, rakan-rakan Asia yang lain iaitu Korea Selatan dan Taiwan mencatatkan aliran masuk bersih asing yang besar.

MIDF berkata, walaupun jualan bersih asing masih berlaku pada Khamis dan Jumaat, jumlahnya perlahan kepada RM106.4 juta dan RM105.7 juta.

Bagi separuh pertama Februari 2019, pelabur luar pesisir telah melupuskan sejumlah RM206 juta, menurunkan aliran masuk bersih asing pada tahun ini ke Malaysia kepada RM820.1 juta,” kata MIDF lagi.

Firma penyelidikan itu berkata, Malaysia bukanlah negara yang mempunyai aliran masuk bersih asing paling rendah dalam kalangan empat pasaran ASEAN yang dipantau.

Setakat ini, Indonesia merekodkan aliran masuk bersih melepasi RM3 bilion manakala Thailand adalah satu-satunya yang mempunyai mencatatkan aliran keluar bersih.

Penyertaan semua kumpulan pelabur meningkat sepanjang minggu lalu.

Pelabur asing merekodkan kenaikan dalam nilai dagangan purata harian (ADTV) sebanyak 15.3 peratus, melepasi RM1 bilion. – MalaysiaGazette