KUALA LUMPUR – Tidak ada pemimpin dan komponen parti dalam Pakatan Harapan (PH) yang tidak menyokong dan mahu membuat undi tidak percaya kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Sehubungan itu dakwaan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan bahawa dua parti dalam gabungan itu merancang menyingkirkan Perdana Menteri disifatkan Lim Guan Eng sebagai berniat jahat.
Menafikan sekeras-kerasnya Setiausaha Agung DAP itu menggesa Takiyuddin menunjukkan bukti terhadap tuduhan itu namun jika sebaliknya jelas menunjukkan pemimpin Pas itu tidak bertanggungjawab apabila menggunakan fitnah.
“Saya ingin menegaskan bahawa PH secara keseluruhan memberi sokongan penuh kepada kepimpinan Perdana Menteri dan menolak sekeras-kerasnya sebarang andaian yang mengatakan sebaliknya.
“Tidak ada satu parti komponen PH atau pun mana-mana pemimpin PH yang menyatakan tidak sokong atau mahukan undi tidak percaya ke atas kepimpinan Tun Dr. Mahathir, baik di dalam atau di luar mesyuarat Majlis Presiden PH.
“Sebaliknya yang menentang kepimpinan Mahathir tidak lain dan tidak bukan datang daripada Pas sendiri.
“Saya harap Takiyuddin boleh menunjukkan bukti atas dakwaan yang berniat jahat ini. Sekiranya beliau gagal berbuat demikian, Takiyuddin jelas terbukti tidak bertanggungjawab, tidak bermaruah dan hanya memainkan helah untuk mengelakkan isu sebenar iaitu politik sempit, pembohongan dan mencipta fitnah semata-mata untuk mengalihkan perhatian umum daripada hakikat bahawa pemimpin Pas menerima wang daripada UMNO,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Pas tambah Guan Eng sepatutnya tidak cuba mengalihkan perhatian terhadap isu dana daripada UMNO yang diterima parti tersebut yang jelas berlaku apabila Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menarik balik saman terhadap editor Sarawak Report, Claire Rewcastle Brown.
Takiyuddin ketika sidang medianya semalam mendakwa dua parti komponen PH merancang menyingkirkan Mahathir melalui undi tidak percaya di Parlimen.
Pas katanya berikrar memberi sokongan kepada Mahathir sekiranya ia berlaku pada pertemuan dengan Pas dengan Mahathir pada Jumaat lepas.
Penjelasan Takiyuddin itu ekoran daripada dakwaan Mahathir pihak Pas membuat keputusan untuk tidak menyokong BN dalam PRK Semenyih.-MalaysiaGazette