Home Politik Muhyiddin puji Shafie tak emosional

Muhyiddin puji Shafie tak emosional

Timbalan Presiden Pakatan Harapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap pada Program Sembang Santai sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.24 Semenyih di Warung Kak Ting, Pekan Beranang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 18 FEBRUARI 2019

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyambut baik kenyataan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal yang bersikap terbuka terhadap ‘kehadiran’ parti itu ke Sabah.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin memuji pendirian Mohd. Shafie yang tidak emosional dalam mengenai isu Bersatu masuk Sabah itu.

Sebaliknya, Ketua Menteri Sabah dilihat lebih memberi fokus kepada usaha untuk membangunkan negeri itu selaras dengan mandat yang diberikan oleh rakyat dalam PRU-14 lalu.

“Pendirian beliau (Mohd. Shafie) ini adalah selari dengan tujuan kemasukan Bersatu ke Sabah iaitu untuk memperkukuhkan kerajaan negeri yang terbentuk hasil kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan Warisan dalam pilihanraya umum yang lalu.

“Dengan kedudukan kerajaan negeri yang lebih kukuh dan stabil, saya percaya lebih banyak program-program pembangunan yang menguntungkan rakyat Sabah akan dapat dilaksanakan dengan jayanya,” katanya.

Beliau kata demikian dalam satu kenyataan di laman rasmi Facebook miliknya di sini hari ini.

Muhyiddin yang turut ditemui dalam satu program semasa kempen PRK DUN Semenyih turut mengulangi kenyataan yang sama terhadap Mohd. Shafie.

Menteri Dalam Negeri itu menambah, sebagai parti komponen PH, Bersatu akan memastikan hubungan kerjasama yang baik antara parti komponen dan Warisan akan terus diperkukuhkan demi kebaikan rakyat Sabah.

“Saya yakin keputusan Bersatu untuk melebarkan sayapnya ke Sabah di atas permintaan rakyat di negeri ini akan memberikan kebaikan kepada rakyat dan kerajaan negeri di bawah kepimpinan Mohd. Shafie,” katanya lagi.

Sementara itu pada sidang media, Muhyiddin berkata, keputusan psoitif itu membolehkan Bersatu memulakan langkah untuk menyemak daftar beberapa orang pemimpin di Sabah.

“Ramai menyatakan kesediaan untuk masuk menjadi ahli Bersatu, sama ada Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri atau Ketua Bahagian yang telah meninggalkan UMNO.

“Beberapa ribu borang permohonan telah dikemukakan mereka tetapi tidak lagi didaftar kerana kedudukan parti kita belum selesai di Sabah.

 

  • MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Pendirian Warisan tetap, tapi tak boleh halang keinginan Bersatu