KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang pernah memuji habis-habisan keberanian rakyat menukar kerajaan kini mesti meraikan kritikan rakyat.
Kerajaan tidak boleh mengamalkan sikap double standard apabila memuji keberanian rakyat hanya apabila mereka menyebelahi PH sahaja.
Ini kerana, jika rakyat bersedia menukar kerajaan, sudah pastilah mereka sangat matang untuk menilai sama ada sesuatu dasar kerajaan itu wajar disokong atau sebaliknya kerana mereka mempunyai kebebasan itu.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, rakyat mempamerkan rasa tidak puas hati bukan secara suka-suka tetapi kekecewaan mereka bersebab dan berasas.
Bekas Menteri Besar Johor itu yakin rakyat Malaysia hari ini sangat kecewa dan berasa tertipu, bukan sahaja dengan ketiadaan dasar dan hala tuju negara yang jelas tetapi sikap dan pendekatan semasa yang dilihat sangat tidak mesra rakyat.
Misalnya, tindakan tidak sensitif dalam mengusulkan ratifikasi ICERD sebelum ini menimbulkan kemarahan orang Islam, keputusan untuk tidak meneruskan rayuan dalam kes Pulau Batu Putih, melepaskan aset-aset strategik negara dan
Bumiputera.
Semua ini mengundang persoalan dan kerisauan, kata Khaled.
Malah, sesetengah dasar negara hari ini adalah mengelirukan seperti cadangan kereta nasional ketiga.
Perkara ini adalah tidak cermat kerana tiada sebarang keperluan mendesak, selain memerlukan dana yang sangat besar daripada kerajaan.
Tambahnya, demikian juga dalam isu kerjasama dan perdagangan dengan negara China
Ini kerana, tindakan berbaik dan rapat dengan negara komunis itu oleh kerajaan terdahulu telah digambarkan sebagai sangat teruk dan mampu menggugat kedaulatan negara.
Tetapi kini, kerajaan PH mengerahkan segala sumber yang ada demi menarik masuk pelaburan dari China.
“Saya lihat banyak sekali dasar dan keputusan kerajaan hari ini yang dibuat tanpa terlebih dahulu mendapatkan maklum balas, saranan serta input dari masyarakat dan pihak yang bakal terkesan dengan keputusan tersebut.
“Terbaharu, lihat sahaja inisiatif Kementerian Pelajaran yang berhasrat memastikan perhimpunan sekolah tidak lebih dari 10 minit. Perkara ini mengundang kegusaran dan penolakan yang besar dari kalangan guru yang melihatnya sebagai tidak logik, tidak praktikal dan begitu menggambarkan ketidakfahaman kementerian tentang bagaimana sekolah diuruskan.
“Keluhan dan kekecewaan juga disuarakan apabila kerajaan tidak semena-mena memutuskan untuk membatalkan subsidi haji kepada mahram atau pengiring jemaah yang terpilih.
“Jika Kerajaan BN sebelum ini mampu melakukannya tanpa masalah, mengapa kini semua perkara mesti diubah dengan cara yang akhirnya menyusahkan rakyat?,”
“Dalam segala kekalutan dasar seperti ini, Dr Mahathir masih mengharapkan rakyat hanya menyokong dan menurut secara membuta tuli sahaja? Tentu tidak. Inikan Malaysia Baharu,” tambahnya.
Lantaran itu beliau sangat berharap yang Perdana Menteri melihat dan menerima dengan terbuka bahawa mentaliti menyalahkan orang lain masih menebal, malah semakin teruk dalam kalangan Kabinet kerajaan.
Sedangkan sangat jelas, selepas 9 bulan pentadbiran PH, tiada dasar baharu yang benar-benar memberikan manfaat kepada rakyat secara besar-besaran.
Jelasnya, bukan rakyat tidak sabar atau menuntut sesuatu di luar kelaziman dan kewarasan tetapi kerajaan hari ini harus sedar, pra PRU14 PH sendiri yang telah ke hulu dan hilir mencanang bahawa mereka sudah mempunyai formula bagaimana segala masalah negara harus diselesaikan.
Khaled berkata, tidak mungkin kita mahu terus bermain dengan naratif hutang negara yang besar.
Beliau yang melihat seruan Dr Mahathir supaya rakyat menyokong kerajaan PH seolah-olah satu tamparan tersirat kepada rakyat.
Ia seolah-olah rakyatlah punca kenapa segala dasar dan pelan kerajaan hari ini gagal, tertangguh atau terpaksa dibatalkan.
Sedangkan, hakikatnya jelas bahawa pelan-pelan dan inisiatif kerajaan hari ini yang tidak realistik, tidak mengambil kira keperluan rakyat dan yang paling penting, tidak disandarkan pada satu hala tuju yang jelas.
“Saya faham kekecewaan Tun Mahathir. Hampir semua menteri yang tidak lekang dengan kontroversi rata-ratanya dari Bersatu. ijazah palsu, tidak tamat belajar dan pelbagai masalah integriti yang lain. Sudah pastilah perkara ini memalukan.
“Tetapi, tidak semua perkara harus dipulangkan kepada rakyat. Rakyat berhak memilih, berhak mengkritik dan berhak menuntut apa yang mereka rasakan terbaik untuk mereka dan untuk Malaysia.
“Rakyat tidak lagi akan menyokong secara membuta tuli. Dalam semangat Malaysia baharu, kita percaya pada satu perkara – menurut biar berakal,” ujar beliau. – MalaysiaGazette