KUALA LUMPUR – Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) akan merancang Pelan Induk baru untuk melakukan transformasi masyarakat luar bandar bagi 50 tahun akan datang.
Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelan itu seiring dengan Transformasi Nasional 50 (TN50) yang diumumkan oleh Perdana Menteri semasa Bajet 2017.
Menurut beliau, kementerian itu akan mengadakan konvensyen bagi membincangkan hala tuju mengenai masyakat luar bandar untuk pelan itu pada tahun depan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan 50 tahun Felcra di sini.
Terdahulu ketika berucap, Ismail Sabri berkata, kerajaan melalui Felcra sentiasa komited untuk meningkatkan pendapatan masyarakat luar bandar.
Katanya, selepas 50 tahun Felcra telah memajukan 260,000 hektar tanah melipuyi 170 projek di seluruh negara.
Pertambahan ketara dari segi keluasan dan bilangan kumpulan ini membuktikan Felcra terus relevan sebagai Agenda Pembangunan Nasional.
“Kemajuan Felcra turut dinikmati oleh para pesertanya melalui agihan dividen sebanyak RM5.6 bilion sejak ia dikorporatkan pada tahun 1997.
“Dan bagi dividen 2016, Felcra dijangka memberi agihan lebih besar berbanding yang diperoleh tahun ini,” katanya.
Peningkatan agihan dividen itu dipacu oleh peningkatan harga minyak sawit mentah yang mencecah RM3,200 setiap tan.
Selain itu, Felcra juga mendapat peruntukan besar sebanyak RM30 juta dalam bidang keusahawanan kepada MARA yang dikhususkan kepada usahawan muda termasuk peserta Felcra.
Sehingga kini Felcra telah membentuk dan mewujudkan usahawan seramai 1,500 orang dan 500 daripadanya adalah usahawan belia.
Felcra juga telah memperuntukan sebanyak RM12.5 juta bagi bantuan kepada para usahawan untuk pembangunan produk, pembungkusan dan pelabelan, khidmat nasihat dan latihan keusahawanan. – MalaysiaGazette