KAJANG – Aura kemenangan Barisan Nasional (BN) di Cameron Highlands diharap dapat diteruskan dalam PRK DUN Semenyih kali ini.
Malah Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan yakin momentum yang sama akan berlaku pada PRK DUN Rantau.
Menurut beliau, keyakinan itu dipamerkan daripada gerak kerja semua jentera parti dalam BN yang semakin kuat peringkat akar umbi dan sokongan rakyat.
“Penambahbaikan dalam enam PRK ini yang saya nampak semakin kuat jadi saya lihat keputusan Cameron Highlands dan bawa ke sini dan kemudian di Rantau.
“Kita ada keyakinan penuh apatah lagi bakal calon adalah Timbalan Presiden UMNO sendiri yang mempunyai populasi yang cukup tinggi dan kita yakin akan beri kemenangan sekali lagi dan hatrik di ketiga-tiga PRK nanti,” katanya.
Sebelum itu, Shahril Sufian mengadakan program walkabout dan beramah mesra dengan pengundi di Pusat Daerah Mengundi Kantan Permai di Kajang hari ini.
Pada PRK Cameron Highlands, BN menang besar dengan majoriti 3,238 undi.
Percaturan kini terarah kepada calon BN di Semenyih, Zakaria Hanafi dalam PRK DUN Semenyih.
Selepas PRK Semenyih, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bakal menetapkan satu lagi PRK di DUN Rantau apabila Mahkamah Persekutuan semalam mengenepikan keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya Seremban yang mengisytiharkan kemenangan beliau di DUN Rantau pada PRU-14 sebagai tidak sah dan terbatal.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai kempen provokasi seperti tulisan di kain rentang dalam kempen PRK Semenyih semalam, Shahril Hamdan mendakwa, PH sebenarnya takut dengan kebangkitan sokongan terhadap BN.
Ia termasuk sokongan kepada bekas Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak.
“Ini menunjukkan bahawa PH cakap tidak serupa bikin sebab mereka sebelum ini mendukung rule of law. Kalau seseorang itu belum disabitkan kesalahan, mana mungkin kita label dia perompak.
“Kegagalan demi kegagalan itu yang menyebabkan mereka terpaksa serang BN. Saya ingat biarlah mereka buat perkara itu, dan kami akan terus berkempen dengan cara kami,” katanya.
Dalam pada itu, Shahril berkata, satu program besar-besaran antara sayap Pemuda UMNO dan Pas akan diadakan pada hujung minggu ini.
“Walaupun kita bekerjasama dengan Pas, tetapi ada masanya kita akan terus bergerak dengan hanya jentera BN kerana calon kita adalah daripada BN.
“Jadi, kita pentingkan pergerakan kita, kalau mereka boleh sertai nanti, lagi bagus. Akan ada majlis yang besar akan dimaklumkan oleh Ketua Pemuda bersama Pemuda Pas,” katanya lagi. -MalaysiaGazette