KUALA LUMPUR – Papagomo atau nama sebenarnya, Wan Muhammad Azri Wan Idris dibebaskan dengan jaminan polis selepas didapati tidak melakukan kesalahan serius terhadap Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, siasatan awal mendapati punca serangan terhadap Menteri Belia semasa penamaan calon Pilihan Raya Kecil Semenyih pada 16 Februari lalu hanya disebabkan salah faham.
“Ya, ada tarik menarik berlaku.
“Kita bagi dia jamin (jaminan polis), kita dapati tidak begitu serius sehingga pergaduhan berlaku tetapi ianya silap faham,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan istiadat penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) Kontinjen Selangor kepada 318 pegawai polis pelbagai pangkat.
Exco Pemuda UMNO itu ditahan di rumahnya di Setapak pada Sabtu lalu bagi membantu siasatan berhubung insiden menyerang Syed Saddiq.
Dia didakwa mengasari dan mencekak leher Syed Saddiq. – MalaysiaGazette