KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Nazri Aziz menegaskan, beliau tidak perlu sokongan daripada mana-mana pihak untuk berdepan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menjelang debat yang dijadualkan pada 25 Mac ini di Padang Rengas.
Nazri, yang juga Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu berkata, sesi debat itu adalah antara beliau dengan Dr Mahathir dan penyokong pembangkang jadi tidak ada keperluan untuk wakil UMNO atau Barisan Nasional (BN) hadir bagi mendengar apa yang ingin diperkatakannya.
“Saya nak minta orang UMNO, BN tidak usah dok mari. Saya tidak ada masalah, saya seorang sudah boleh.
“Lagi bagus kalau tidak ada wakil UMNO hadir, bukannya saya hendak bercakap dengan wakil UMNO, saya nak bercakap pada pembangkang,” kata Nazri semasa ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Nazri juga mengulangi kenyataan bahawa dirinya tidak mewakili kerajaan atau pun parti, sebaliknya ia adalah untuk pengundi kawasan parlimennya, Padang Rengas.
“Tapi ini saya juga bukan ketua kerajaan, jadi saya ingat ini individu lawan individu. Jadi ia tak penting, tak boleh guna kerajaan punya.. saya tidak pernah kata (mewakili kerajaan).
“Malah menteri kewangan kedua juga, (Tan Sri) Annuar Musa juga tidak mewakili UMNO, okay. Saya tidak ada masalah, saya mewakili diri saya sendiri, dan pengundi Padang Rengas,” katanya.
Nazri berkata debat tersebut akan diteruskan, malah beliau sendiri sudah bertemu pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi memastikan program tersebut tidak dibatalkan.
Debat kedua-dua pemimpin itu dijangka diadakan pada 25 Mac di Maktab Rendah Sains Mara Kuala Kangsar pada pukul 3 petang.
Isu yang menjadi topik perdebatan itu adalah mengenai 1MDB serta dana RM2.6 bilion mengaitkan Perdana Menteri selain berbalas hujah mengenai isu Bumiputra Malaysia Finance yang mengaitkan Mahathir.
Isu debat muncul selepas Nazri membidas kehadiran Dr Mahathir di Parlimen Padang Rengas bagi siri jelajah partinya. – MalaysiaGazette.