Home Nasional Penyokong PH provokasi Najib di Semenyih

Penyokong PH provokasi Najib di Semenyih

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diiringi calon BN PRK N.24 Semenyih, Zakaria Hanafi (dua kanan) beramah mesra bersama peniaga semasa sesi walkabout sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.24 Semenyih di Pasar Pekan Rabu Beranang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 20 FEBRUARI 2019.

SEMENYIH – Kehadiran bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak ke pasar pagi Rabu di pekan Beranang pagi tadi tidak disenangi sekumpulan penyokong dari Parti Pakatan Harapan (PH).

Beberapa individu memakai baju berwarna merah tertera tulisan PH didakwa cuba melakukan provokasi ketika melintasi sekumpulan penyokong Barisan Nasional (BN) yang sedang berkumpul mendengar ceramah di lokasi kehadiran Najib.

Menerusi rakaman yang tular, seorang penyokong PH menjerit meminta supaya penyokong BN membawa Najib bertemu dengannya.

Ketika kejadian berlaku, Najib dan beberapa pemimpin UMNO serta calon parti berkenaan sedang melakukan walkabout bertemu orang ramai di pasar pagi tersebut.

Bagaimanapun, seorang lelaki warga emas muncul di tengah-tengah kekalutan itu dan mempersoalkan tingkah laku mereka yang dianggap memalukan.

Berdasarkan audio, penyokong PH itu cuba mengajar warga emas berkenaan bahawa tindakan mereka adalah sebahagian daripada politik supaya penduduk Semenyih tidak terpengaruh dengan Ahli Parlimen Pekan itu.

“Ini provokasi politik pakcik, penyamun Najib tu, berapa bilion dia dah ambil duit kita,” kata penyokong PH terbabit.

Lelaki warga emas itu kemudiannya menengking kumpulan penyokong PH terbabit dengan berkata, “Engkau tahu siapa saya tak? Buat malu saya saja,” katanya warga emas tersebut yang kemudian menghalau mereka.

Sikap warga emas itu kemudiannya turut mengundang kemarahan seorang lelaki dipercayai penyokong PH yang dilihat ‘melawan’ percakapan warga emas itu.

Keadaan itu bagaimanapun reda selepas berjaya dikawal oleh kumpulan penyokong PH termasuk Exco ARMADA, Mohd. Ashraf Mustaqim Badrul Munir serta sepasukan anggota polis ditempatkan di lokasi berkenaan.

Rakaman insiden itu turut dimuat naik oleh Najib menerusi laman sosial Facebooknya beberapa jam yang lalu.

Menerusi status Najib menyindir, provokasi yang ditunjukkan oleh penyokong parti kerajaan itu mungkin disebabkan mereka mahu beliau menunjukkan permit untuk orang ramai berswafoto dengannya.

“Saya diberitahu bahawa satu kumpulan dari PH cuba membuat provokasi semasa saya melawat ke Pekan Rabu Beranang pagi tadi.

“Mereka tidak puas hati bahawa saya berjalan-jalan di sana dan telah minta saya keluar untuk berhadapan dengan mereka.

“Tetapi mereka dihalang oleh beberapa penduduk tempatan dan pihak polis.

“Tahniah kepada Pegawai PDRM yang bertugas dilokasi dan kepada penduduk-penduduk tempatan.

“Mungkin kumpulan PH ini cuma nak minta saya tunjuk permit selfie kot,” tulisnya menerusi status di laman sosial berkenaan.

Terdahulu, Najib bersarapan pagi dengan penduduk Semenyih di sebuah warung di tepi jalan yang letaknya tidak jauh dari pasar pagi tersebut.

Kehadiran Najib disambut luar biasa apabila kira-kira 1,000 orang menantikannya sejak pukul 7 pagi.

Beberapa program disusun sepanjang kehadiran kali ketiga Najib ke Semenyih dalam usaha membantu kempen calon BN, Zakaria Hanafi pada pilihan raya kecil (PRK) berkenaan. – MalaysiaGazette

VIDEO BERKAITAN: