Home Nasional Ciri keselamatan stesen ‘panas’ MRT dipertingkatkan

Ciri keselamatan stesen ‘panas’ MRT dipertingkatkan

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke (tengah) bercakap pada sidang media khas mengenai perkembangan terkini pengangkutan awam di Kementerian Pengangkutan Malaysia, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 20 FEBRUARI 2019

PUTRAJAYA- Kementerian Pengangkutan mengarahkan Prasarana Malaysia Bhd. (Prasarana) menambah ciri-ciri keselamatan di enam buah stesen MRT yang telah dikenalpasti sebagai hot spot kegiatan jenayah.

Keenam-enam stesen tersebut adalah stesen Taman Mutiara, Stesen Batu 11, stesen Bukit Bintang, Stesen Maluri, Stesen Kajang dan Stesen Pertama Cheras, kata Menterinya, Anthony Loke.

Jelasnya, Prasarana juga akan menubuhkan sebuah pasukan petugas khas keselamatan yang berpakaian biasa untuk memantau kegiatan jenayah di stesen-stesen berkenaan.

Ini adalah ekoran kejadian samun yang berlaku di dalam lif di sebuah stesen MRT baru-baru ini.

“Selain itu, saya juga mengarahkan supaya semua kawasan park & ride diselenggara dengan baik terutamanya sistem lampu,” katanya semasa sidang media hari ini.

Pada sidang media yang sama, Anthony juga mengumumkan diskaun sebanyak 20 peratus kepada pengguna perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad bermula 1 April ini.

Diskaun tersebut ditawarkan selama setahun sebelum disemak semula dan ditentukan sama ada perlu diteruskan atau tidak.

Ia bakal memberi implikasi kewangan berjumlah RM43 juta selama kepada Perbadanan Aset Keretapi (RAC).

“Cadangan untuk memberikan diskaun itu telah dibentangkan dalam Majlis Kos Sara Hidup minggu lepas dan kabinet telah mengambil keputusan untuk meluluskannya.

“Diskaun 20 peratus ini diberikan kepada semua penumpang dan sekiranya mereka membeli tiket menerusi sistem tanpa tunai, tambahan diskaun sebanyak 20 peratus akan diberikan,” katanya lagi.

Menyentuh mengenai rungutan penduduk Semenyih yang sukar untuk menggunakan perkhidmatan MRT akibat kekurangan bas perantara, Anthony berkata, perkara itu telah dibuat penilaian pihaknya.

Jelasnya, kementerian telah mengambil keputusan untuk meningkatkan perhubungan bagi memudahkan pengguna menggunakan perkhidmatan awam.

“Ini bukan sahaja di Semenyih malah di semua tempat di Lembah Kelang yang mana mereka duduk jauh daripada stesen-stesen pengangkutan awam.

“Kami sedang mencari jalan untuk meningkatkan kesalinghubungan dan mencari jalan supaya lebih ramai boleh menggunakan perkhidmatan awam,” katanya.- MalaysiaGazette