Home Nasional Siapa selepas Fuzi?

Siapa selepas Fuzi?

Abdul Hamid Bador

KUALA LUMPUR – Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini berkata, kerajaan akan mencari calon sesuai untuk mengantikan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Muhammad Fuzi Harun yang akan bersara tidak lama lagi.

Sejak itu, ramai pula berteka-teki siapakah akan menjadi pilihan Muhyiddin dan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mula menjadi KPN yang baharu.

Selain daripada jawatan KPN yang ketika ini sedang disandang oleh Tan Sri Mohamad Fuzi – jawatan nombor dua juga iaitu Timbalan KPN yang baharu juga akan diputuskan dalam tempoh terdekat ini.

Sebelum ini ada juga cakap-cakap mengatakan Mohamad Fuzi dan timbalannya, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim bakal bersara pada bulan Mei tahun ini namun daripada cara Muhyiddin, mungkin lebih awal lagi.

Menurut sumber, ada beberapa nama yang ‘naik’ dan dalam proses saringan pihak atasan.

 

Antaranya yang begitu popular termasuk Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Abdul Hamid Bador.

Umum juga tahu apa yang terjadi dengannya ketika cubaan ‘mendiamkan’ dirinya dalam isu penyewelengan 1MDB serta dana RM2.6 bilion pada zaman pemerintahan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Kelantangan beliau digeruni dan berpengalaman luas kerana sudah berkhidmat lebih 37 tahun dalam PDRM.

Malah pernah dipencenkan awal ketika menjawat jawatan Timbalan Pengarah Cawangan Khas dengan dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri pada 19 Ogos 2015.

Ketika itu, Abdul Hamid telah diberikan tugas untuk memantau isu keselamatan dan transnasional.

Bagaimanapun beliau sendiri mendakwa perpindahan itu kerana kerajaan memindahkannya kerana siasatan berkaitan 1MDB.

MGF06102017_PCPolisJenayahKomersial03
Acryl Sani Abdullah Sani

Nama-nama lain seperti Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani disebut-sebut.

Beliau sebelum ini sangat aktif serta popular ketika menjadi Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman.

Pelbagai kes besar membabitkan jenayah komersil bernilai jutaan ringgit berjaya dirungkai dan ditumpaskan ketika beliau menerajui JSJK.

MGF06052018_MAZLAN LAZIM WALKABOUT_10 (1)
Mazlan Lazim

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim juga tidak terkecuali dalam senarai.

Apatah lagi sejak akhir-akhir ini beliau tampil dengan kejayaan menumpaskan pelbagai kes besar dan penjenayah di ibu kota.

Mungkin usianya agak muda dan antara yang paling ‘cepat naik’ namun Mazlan dikatakan antara yang  ‘aktif’ selain popular dalam PDRM sekarang.

Hasrat untuk menjadikan ibu negara bersih daripada kegiatan jenayah khasnya judi, pelacuran, aktiviti pengganas serta gangsterisme nampak cerah di bawah pentadbiran Mazlan.

Zulkifli Abdullah
Zulkifli Abdullah

Selain itu, nama Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Datuk Seri Zulkifli Abdullah dan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Datuk Zamri Yahya menjadi perhatian.

Datuk Zamri Yahya
Zamri Yahya

Seperti yang diketahui, Zamri pernah menjadi Ketua Polis Kedah dan mengetuai beberapa jabatan dalam PDRM malah berpengalaman luas.

Zamri juga menerima jolokan ‘orang kuat’ Tun Mahathir sehingga pernah ditukar ke Jabatan Perdana Menteri sebelum ini.

Begitu juga dengan Zulkifli, bukan calang-calang sebaliknya bekas Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) yang dilihat berkaliber.

Tidak cukup dengan itu, beliau juga pernah memegang beberapa jawatan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk Pengarah Jabatan Pengurusan dan Pengarah Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi (StaRT).

Beliau juga pernah menjadi ketua polis negeri di Kelantan, Perak dan Kuala Lumpur.

“Ada juga nama lain, yang pastinya semua namanya dicalonkan berdasarkan kriteria serta pengalaman luas selain daripada peranan serta jasa yang telah ditaburkan.

“Ketika menghadapi suasana politik hari ini selain daripada pelbagai jenis skandal serta peranan dalam memastikan kedaulatan, keselamatan serta keharmonian sentiasa kekal, keputusan terbaik pastinya akan tercapai. Kita harapkan yang terbaik.

“Juga diharap suara-suara akar umbi PDRM sendiri khasnya yang berkepentingan juga didengari sebelum membuat keputusan tersebut, seperti sebelum ini kita perlukan yang lebih lantang dan tegas,” kata sumber kepada Malaysia Gazette hari ini.

Pada 4 September 2017, Mohamad Fuzi, yang sebelum itu memegang jawatan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, dilantik mengisi jawatan nombor satu Polis Diraja Malaysia bagi menggantikan Tan Sri Khalid Abu Bakar yang bersara secara rasmi ketika itu.

Bagi Noor Rashid, beliau dilantik sebagai Timbalan KPN pada 1 Disember 2014 dan sebelum dilantik ke jawatan itu menggantikan Tan Sri Mohd Bakri Mohd Zinin, beliau pernah memegang jawatan Pengarah Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN). –MalaysiaGazette