Home Nasional PH berdepan laluan sukar di Semenyih – penganalisis

PH berdepan laluan sukar di Semenyih – penganalisis

Pensyarah UKM, Prof. Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff bercakap pada Bicara Persada Cameron Highland ke Semenyih : Adakah Lanskap Politik Akan Berubah? di UKM Bangi, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 21 FEBRUARI 2019.

BANGI – Pakatan Harapan (PH) dilihat berdepan laluan sukar untuk mengekalkan kedudukannya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih disebabkan rakyat sudah muak dengan kredibiliti kerajaan.

Penganalisis politik, Prof. Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff berkata, biar pun PH pernah berjaya menembusi kawasan itu pada PRU-14 namun kelebihan itu hilang secara tiba-tiba.

Ia semua kerana kegagalan kerajaan itu dalam menunaikan janji dalam manifesto pilihan raya.

“Siapa yang akan menang di Semenyih itu mudah, nak kata siapa menang terlalu awal tetapi saya pasti PH lalui laluan sukar di PRK Semenyih, tidak harus selesa selepas ada dakwaan PH akan kuasai Semenyih.

“Faktor kerusi penyandang memberikan kelebihan kepada PH, itu tidak ada di Semenyih. Integritinya hilang kerana rakyat tidak selesa.

“AES ditambah, PTPTN tidak dilaksanakan, banyak manifesto tidak dibuat, malah menteri pun tidak cemerlang. Kita nak cakap siapa pun sudah jelas tetapi rakyat boleh tengok apakah menteri yang ada pada hari ini cemerlang atau tidak?” soalnya dalam Bicara Persada ke 49 di Canselori Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini.

Program bicara dengan tema ‘Cameron Highlands ke Semenyih: Adakah landskap politik akan berubah?’ turut membawa Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Naib Presiden Pas, Idris Ahmad dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen sebagai panelis.

Tambah pensyarah sains politik UKM itu lagi, hala tuju yang tidak jelas dan dasar-dasar yang tidak menentu menyumbang kepada kejatuhan sokongan terhadap PH.

“Hala tuju pun tidak jelas, apa lagi dasar flip flop. Sekejap tukar, sekejap tidak.

“Ini satu kelemahan sebab rakyat memerhatikan. Sekarang PH rasa selesa sebab telah menang pada 10 Mei, rakyat gembira dengan kejatuhan BN, untuk 100 hari rakyat beri peluang kepada PH untuk melaksanakan manifesto yang dijanjikan. Tapi satu demi satu harapan rakyat tidak jadi.

“Saya tidak nampak PH boleh memberikan imej parti yang kuat, tidak nampak sokongan yang kuat peringkat akar umbi,” katanya lagi.

PRK Semenyih bakal mengambil tempat 2 Mac depan setelah penyandang, Bakhtiar Mohd Nor, 57 yang meninggal dunia di Hospital Kajang pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.

PH mengetengahkan Muhammad Aiman Zainali sementara BN mengemukakan Zakaria Hanafi,58 seorang pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Pembangunan adalah merupakan bekas Penolong Pegawai Tadbir Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Selain dua calon itu, PRK DUN Semenyih menyaksikan dua lagi calon antaranya calon muda dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) Nik Aziz Afiq Abdul, 25, dan calon bebas Kuan Chee Heng atau Uncle Potato. -MalaysiaGazette