PUTRAJAYA – Naib Presiden PPBM, Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman mendakwa tidak pernah mendengar khabar angin kononnya ada gerakan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Katanya, jika ada khabar itu ia dilakukan oleh parti musuh yang sentiasa mencemburui kejayaan Mahathir mentadbir kerajaan Pakatan Harapan (PH) walaupun baru berusia sembilan bulan.
Dalam pada itu, beliau turut menyarankan parti komponen PH memberi peluang kepada Mahathir mentadbir sehingga habis penggal PRU-14.
“Saya tak dengar apa-apa pun, saya tak mahu komen apa-apa lebih dari itu,” katanya pada sidang media di Menara Usahawan hari ini.
Beliau ditanya berhubung ada gerakan parti tertentu dalam PH yang dikatakan sedang merancang untuk membuat undi tidak percaya kepada Mahathir berikutan tindakannya menerima kemasukan beberapa Ahli Parlimen dari UMNO baru-baru ini.
Ab. Rashid bagaimanapun tidak menolak kemungkinan PPBM akan berdepan dengan risiko sekiranya Mahathir yang juga pengerusi parti itu gagal dalam pentadbirannya.
Katanya, Mahathir telah melakukan yang terbaik setakat ini dan pemimpin dari parti komponen PH harus bersabar untuk melihat hasilnya kerana pentadbiran PH masih terlalu baharu.
Namun Pengerusi Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya itu mengakui ada menerima pujian daripada orang ramai terhadap Perdana Menteri dan mahu Mahathir kekal sebagai Perdana Menteri sehingga tamat tempoh satu penggal. – MalaysiaGazette