Home Politik Debat hanya untuk populariti, tak selesai masalah

Debat hanya untuk populariti, tak selesai masalah

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki (kiri) diiringi calon BN PRK N.24 Semenyih, Zakaria Hanafi (dua kiri) bertanyakan khabar dengan warga emas, Siti Zaharah Sair, 81, pada Program Ziarah Kasih sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.24 Semenyih di Kampung Sesapan Batu Minangkabau, Beranang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 21 FEBRUARI 2019

SEMENYIH – Debat yang dianjurkan Bersih tidak mampu menyelesaikan masalah rakyat kerana ia hanya mengutamakan populariti calon bertanding.

Itu pandangan calon Barisan Nasional (BN) PRK DUN Semenyih, Zakaria Hanafi berhubung program debat yang bakal diadakan pada Isnin depan.

Beliau menolak pelawaan debat itu kerana mahu memberi fokus kepada usaha mendekati rakyat selain cuba membantu menyelesaikan masalah yang dibangkitkan.

“Saya hendak tumpu selesaikan masalah rakyat. Kalau debat itu soal peribadi, saya dan dia saja yang akan dapat populariti.

“Kita hendak berkhidmat kepada rakyat bukannya hendak berpidato. Kalau hendak pidato sijil saya dah banyak,” katanya ketika ditemui media di sini hari ini.

Zakaria sebelum itu diminta mengulas mengenai keputusannya untuk tidak berdebat secara terbuka ketika kempen PRK Semenyih sedang berlangung.

Bersih bercadang mengadakan debat berkenaan dengan menampilkan calon bertanding pada PRK berkenaan dan diadakan di kampus University of Nottingham Malaysia di sini.

Semalam, calon Pakatan Harapan (PH), Muhammad Aiman Zainali menolak untuk menyertai debat anjuran Bersih itu dengan alasan calon BN itu tidak menyertainya.

Ini kerana, menurut Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, sesuatu perdebatan pilihan raya hanya bertukar menjadi sekadar ucapan jika calon utama tidak hadir.

Dalam perkembangan sama Zakaria menyerahkan kepada parti untuk mengambil tindakan lanjut terhadap pihak lawan yang menggunakan taktik serangan peribadi terhadapnya sepanjang kempen berkenaan.

Terdahulu, Zakaria bersama Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki melakukan program ziarah kasih di Kampung Sesapan Batu Minangkabau di sini.

Beliau bersama jentera Pemuda UMNO turut bersarapan bersama penduduk kampung di sekitar kawasan itu. – MalaysiaGazette