LONDON – VistaJet, syarikat penerbangan perniagaan pertama dan tunggal mengumumkan kerjasamanya dengan pasukan Scuderia Ferrari Mission Winnow.
VistaJet menjadi penyedia rasmi pesawat penerbangan peribadi kumpulan berkenaan sempena Kejuaraan Dunia Formula Satu 2019.
Dengan jadual yang ketat dalam kalendar perlumbaan dan kebiasaannya hanya selang beberapa hari daripada perlumbaan Grands Prix, VistaJet akan menyokong pasukan dengan mengoptimumkan masa perjalanan dan pemindahan mereka sepanjang musim Formula Satu 2019.
Pasukan Scuderia Ferrari Mission Winnow akan dapat memanfaatkan lebih lagi masa berehat dari trek untuk tiba dalam keadaan optimum.
Pengasas dan Pengerusi VistaJet, Thomas Flohr dalam satu kenyataan mengumumkan kerjasama itu berkata; “Saya sangat berbangga untuk menyokong pasukan perlumbaan paling ikonik dan berjaya di dunia.
“Inovasi, teknologi dan fokus pada kecekapan adalah nilai yang kami kongsi. VistaJet akan menyediakan perjalanan yang lancar untuk Scuderia Ferrari Mission Winnow, untuk memastikan fokus mereka adalah pada perkara yang penting – persaingan atas trek.”
VistaJet memberi penekanan paling penting pada kecemerlangan perkhidmatan dan operasi dan dengan lebih daripada 70 pesawat yang dimiliki, VistaJet telah menyelesaikan lebih daripada 146,000 penerbangan secara global, menerbangkan 360,000 penumpang ke lebih daripada 1,900 lapangan terbang di seluruh dunia dengan selamat.
“Musim baharu telah bermula, satu pasukan baharu akan melakukan perlumbaan dan kita akan berada di sana untuk bersorak untuk Sebastian Vettel, Charles Leclerc dan semua yang ada dalam Scuderia Ferrari Mission Winnow,” kata Flohr.- MalaysiaGazette