Home Ekonomi RON97 dan RON95 naik 10 sen, diesel kekal

RON97 dan RON95 naik 10 sen, diesel kekal

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Harga runcit petrol RON97 naik 10 sen seliter kepada RM2.38 seliter manakala harga harga RON95 juga naik 10 sen menjadikannya RM2.08 seliter bagi tempoh 23 Februari 2019 sehingga 1 Mac 2019.

Harga runcit diesel bagaimanapun dikekalkan pada paras RM2.18 seliter.

Kementerian Kewangan menjelaskan peningkatan harga runcit petrol RON95 didorong oleh faktor peningkatan purata kos produk diproses di pasaran dunia berbanding minggu sebelumnya iaitu daripada AS$63.11 setong kepada AS$66.91 setong.

Bagi produk diesel, kos purata produk diproses turut meningkat secara ketara iaitu daripada AS$74.38 setong kepada AS$79.11 setong.

“Sepatutnya harga runcit diesel adalah sebanyak RM2.33 seliter.

“Namun selaras dengan janji kerajaan untuk menstabilkan harga runcit diesel sekiranya harga sebenar pasaran adalah lebih tinggi daripada paras yang ditetapkan, iaitu RM2.20 seliter untuk RON95 dan RM2.18 seliter untuk diesel, maka harga runcit diesel bagi tempoh 23 Februari 2019 sehingga 1 Mac 2019 terus dikekalkan pada paras RM2.18 seliter,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.-MalaysiaGazette