Home Nasional Bawa Stadlen balik ke Malaysia, kata SPRM

Bawa Stadlen balik ke Malaysia, kata SPRM

Paul Stadlen
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menggesa firma guaman yang mewakili Paul Stadlen untuk membawanya ke Malaysia bagi membantu siasatan.
Timbalan Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Azam Baki berkata, itulah yang sepatutnya dilakukan firma tersebut, bukannya mengulas kes Stadlen di media.

“Beritahu dia untuk kembali ke Malaysia. Tak perlu cakap banyak (tentang tindakan pihak berkuasa terhadap Stadlen).

“Saya minta peguam dia (Stadlen) bawa dia ke sini…Datang jumpa kami,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Malaysiakini.

Azam mengulas kenyataan media oleh peguam Stadlen, Kevin Gold pada 21 Februari lalu. Gold daripada firma guaman terkemuka di London, Mishcon de Reya.

Dalam kenyataan itu, Gold mendakwa Stadlen “terperangkap dalam tindak balas politik terhadap Najib”, susulan pendakwaan tanpa kehadiran dan pengeluaran waran tangkap terhadap Stadlen untuk tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM15 juta.

Turut didakwa dalam kes itu adalah peguam Umno, Hafarizam Harun yang didakwa di mahkamah Khamis lalu.

Stadlen merupakan penasihat media Najib ketika beliau menjadi perdana menteri.

Pada November lalu, Azam berkata SPRM sedang memburunya bagi membantu siasatan terhadap skandal 1MDB dan dia telah meninggalkan Malaysia sebelum PRU 9 Mei lalu. – MalaysiaGazette