Home Nasional Penurunan IHP bersifat sementara, ekonomi tidak terjejas – KJ

Penurunan IHP bersifat sementara, ekonomi tidak terjejas – KJ

Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin.

PETALING JAYA – Penurunan Indeks Harga Pengguna (IHP) buat pertama kali dalam tempoh 10 tahun ini tidak akan menjejaskan ekonomi negara, kata Khairy Jamaluddin hari ini.

Beliau yang memegang portfpolio kewangan dalam Kabinet bayangan BN Pembangkang berkata, kajian awal menunjukkan sebenarnya kemerosotan itu bukan disebabkan oleh penurunan perbelanjaan pengguna.

“Ia berlaku disebabkan penurunan harga minyak mentah dunia yang mengakibatkan kos input jatuh.

“Dalam keadaan itu, penurunan itu dilihat di sebelah pembekalan bukan sektor permintaan akibat penurunan harga minyak mentah dunia Januari lalu,” katanya ketika ditanya pemberita di sini.

Beliau berkata demkian selepas merasmikan program terapi sambil bermain atau Therapy Through Play (TTP) oleh pusat Gimnasium khas kanak kanak Autism We Rock The Spectrum (WRTS) di Ara Damansara dengan diiringi pemilik bersama iaitu isterinya Nori Abdullah.

Turut hadir bekas jaguh skuasy perseorangan negara, Azlan Iskandar.

Tambahnya, bagaimanapun data ini akan berubah selepas ini kerana sudah ada pengukuhan harga minyak mentah dunia.

“Saya faham soalan saudara hendak dipolitikkan tetapi saya beri jawapan ikhlas.

“Setakat ini saya nampak ia tak jejaskan ekonomi, tapi kita kena memantau dalam tempoh masa beberapa bulan ini,” tegasnya.

Indeks Harga Pengguna (IHP) merosot pada Januari lalu, yang pertama dalam hampir satu dekad sejak 2009 dengan indeks keseluruhan susut 0.7 peratus pada Januari 2019 kepada 120.5 berbanding 121.3 pada bulan sama pada tahun sebelumnya. -MalaysiaGazette