Home Sukan Sasaran negara bersukan perlu sokongan korporat – KJ

Sasaran negara bersukan perlu sokongan korporat – KJ

Menteri Belia dan Sukan, Yb Khairy Jamaluddin berucap pada Majlis Perasmian BDB Triple Challenge 2017 di Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 20 MAC 2017

KUALA LUMPUR – Agenda kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bersukan tidak akan menjadi realiti sekiranya tidak ada peranan sektor korporat bersama-sama.

Menteri Belia dan Sukan Khairy, Jamaluddin Abu Bakar berkata, sektor korporat dan swasta di negara ini perlu memainkan peranan utama dalam menjayakan misi tersebut.

“Janganlah agenda negara bersukan semata-mata diletak di bahu kerajaan sahaja, ia sebenarnya komitmen semua pihak.

“Misi negara bersukan tidak akan menjadi nyata tanpa kerjasama sektor korporat.

“Ia adalah tanggungjawab semua pihak dan kami mahu lebih banyak sektor korporat tampil ke hadapan menyumbangkan peranan masing-masing untuk memajukan sukan negara,” katanya dalam ucapan merasmikan BDB Tripple Challenge 2017 di Perdana Canopy, Taman Botanical Perdana di sini hari ini.

Khairy seterusnya menyambut baik inisiatif syarikat pemaju terkemuka dari Kedah, BDB atau Bina Darulaman Berhad yang mempromosi sukan lasak menerusi edisi keduanya tahun ini.

Khairy menambah, peranan sektor korporat seperti itu secara tidak langsung menyumbang kepada galakan rakyat supaya cergas dan sihat menerusi aktiviti sukan.

Katanya, beliau mendapat respon baik daripada hasil pertemuan dengan pengusaha sukan tanahair ke arah menyemai kesedaran kepada rakyat terlibat dalam aktiviti sukan.

“Saya sempat berbincang dengan beberapa pengiat peralatan sukan tempatan mendapati jualan sangat laris dan dimaklumkan rakyat semakin ramai bersukan.

“Ini satu indikasi positif bersifat membina yang disumbangkan penggiat korporat dan swasta untuk membawa kesedaran mengenai gaya hidup sihat dan bersukan.

“Percayalah sumbangan seperti ini secara tidak langsung menggalakan rakyat kita bersukan dan saya dapat lihat tiada hari tanpa aktiviti sukan,” ujarnya lagi.

Dalam perkembangan sama, beliau mahu sumbangan korporat terus dipergiatkan lagi ke arah pembentukan negara bersukan.

“Sebab itulah inisiatif kerajaan menerusi Hari Sukan Negara, Pembangunan Bola Sepak Negara terus memastikan penglibatan korporat bersama-sama dengan rakyat.

“Peningkatan penyakit tidak berjangkit dalam kalangan rakyat kita antara faktor perlunya komitmen korporat dan swasta berganding bahu dengan inisiatif kerajaan untuk mewujudkan satu negara bersukan dan rakyat cergas,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette.