Home Nasional Hasil siasatan konspirasi 3 `Tan Sri’ di tangan Peguam Negara

Hasil siasatan konspirasi 3 `Tan Sri’ di tangan Peguam Negara

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi foto MOHD HAZROL ZAINAL

KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara telah menerima hasil siasatan berhubung dakwaan konspirasi tiga Tan Sri untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, laporan chowkit/5870/2017 itu telah dikemukakan pada 29 November tahun lalu untuk arahan dan penelitian timbalan pendakwa raya.

Bagaimanapun, Zahid tidak mendedahkan hasil siasatan dan cadangan yang dikemukakan dalam jawapan bertulis di Parlimen.

Zahid berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Parlimen Pas Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar.

Bekas Naib Presiden Pas itu mahu tahu berhubung status `siasatan palsu’ yang dibuat Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun atau lebih dikenali sebagai Azwan Bro.

Laporan pada 26 Julai tahun lalu itu dibuat terhadap bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akthar Aziz, ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ketika itu Tan Sri Abu Kasim Mohamed dan bekas peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

Menurut Khairul Azwan, ketiga-tiga individu berpengaruh itu dipercayai terbabit dalam konspirasi menjatuhkan Najib dan kerajaan Malaysia.

Khairul Azwan ketika dihubungi petang tadi enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu. – MalaysiaGazette