Home Dunia Perampas pesawat serah diri

Perampas pesawat serah diri

CHITTAGONG – Seorang suspek yang cuba merampas sebuah pesawat Biman Bangladesh Airlines ditahan selepas beliau menyerah diri kepada anggota keselamatam

Para pegawai tentera udara mengesahkan penahanan lelaki itu pada taklimat media di Lapangan Terbang Antarabangsa Shah Amanat di Chittagong pada pukul 8 malam waktu tempatan.

Terdahulu, pesawat tersebut melakukan pendaratan cemas di lapangan terbang tersebut.

Menurut saksi dan kakitangan lapangan terbang, penerbangan BG147 yang menggunakan pesawat Boeing, B737 dalam perjalanan ke Dubai dari Dhaka melalui Chittagong mendarat di lapangan terbang itu pada pukul 5.40 petang.

Seorang kakitangan lapangan terbang yang tidak mahu dikenali memberitahu akhbar, Dhaka Tribune bahawa seorang lelaki bersenjata api cuba mengambilalih kokpit selepas pesawat itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Hazrat Shahjalal di Dhaka dan memaksa juruterbang mendarat di Chittagong.

Pengurus Besar (Perhubungan Awam) syarikat penerbangan itu, Shakil Meraj mengesahkan kepada Dhaka Tribune mengenai insiden tersebut dan menambah semua penumpang selamat dikeluarkan dari pesawat selepas mendarat.

Bagaimanapun menurut laporan media, lelaki bersenjata api itu dan dua anak kapal masih berada dalam pesawat.

Polis, Batalion Tindakan Pantas dan Batalion Polis Bersenjata menutup kawasan tersebut dan pesawat yang berada di landasan dikepung manakala trafik di jalan berhampiran sama ada dilencongkan atau dihentikan.

Setiausaha Penerbangan Awam dan Pelancongan, Mohibul Haque memberitahu UNB menerusi panggilan telefon bahawa semua penumpang telah dikeluarkan dari pesawat dan seorang anak kapal sedang berbual dengan suspek.

Menteri Dalam Negeri, Asaduzzaman Khan Kamal memberitahu bdnews24.com bahawa suspek mengacu senjata api di kepala juruterbang apabila pesawat mendarat.

“Bagaimanapun, semua penumpang dan juruterbang keluar dengan selamat. Itu yang kami tahu setakat ini. Bagaimanapun disahkan bahawa siuspek masih berada dalam pesawat. Kami ingin mengetahui kenapa dan bagaimana ia berlaku,” katanya.

Sementara itu, ahli parlimen Chittagong, Moin Uddin Khan Badal yang berada dalam pesawat memberitahu Somoy TV bahawa perampas telah melepaskan tembakan.

“Juruterbang memberitahu bahawa lelaki ini, warga Bangladesh, melepaskan tembakan. Bagaimanapun semua selamat.

“Apabila juruterbang memujuk beliau, perampas itu berkata dia mahu bercakap dengan Perdana Menteri, Sheikh Hasina. Kini agensi undang-undang cuba menahannya,” kata Badal.

Terdahulu Perdana Menteri Bangladesh berada di Chittagong bagi merasmikan sebuah projek pembangunan.

Seorang saksi berkata, dia terdengar tembakan dan juruterbang cuba menghalang lelaki bersenjata api itu daripada memasuki kokpit. Perampas itu kemudian meminta untuk berhubung dengan perdana menteri dan pegawai kanan kerajaan.

Mohibul berkata, mereka masih belum mengesahkan sama ada terdapat penumpang yang ditembak dalam pesawat. – Agensi