KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta memberi definisi tentang caj kesesakan yang dicadangkan dalam pengambilalihan empat lebuh raya di ibu negara.
Penjelasan berhubung caj kesesakan itu perlu dibuat kerana ia sudah menjadi kebimbangan terbaharu rakyat terutama pengguna-pengguna lebuh raya yang menggunakan infrastruktur itu.
Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam, Datuk Dr Jacob George berkata, kerajaan tidak boleh bertindak mengumumkan sesuatu mekanisme yang mahu dilakukan, kemudian membiarkan rakyat tertanya-tanya.
Akibatnya, maklumat hendak disampaikan tidak dapat diterima dengan betul dan akhirnya ia menimbulkan polemik.
“Sebagai kerajaan setiap perkara yang diumumkan perlu diperincikan agar rakyat jelas dan memahami apa yang cuba disampaikan.
“Seperti kenyataan caj kesesakan, apa maksud sebenarnya. Jelaskan sebaik-baiknya. Jangan buat rakyat tertanya-tanya,” katanya kepada MalaysiaGazette sebentar tadi.
Mengulas mengenai cadangan caj kesesakan itu, George berkata, kerajaan perlu meneliti semula pelaksanaan pemansuhan tol dengan mekanisme yang tepat dan boleh diterima baik oleh rakyat.
Sekiranya, tujuan pemansuhan tol mahu mengurangkan beban kos rakyat maka lakukan dengan betul.
Katanya, mekanisme untuk mensifarkan kadar tol pada pukul 11 malam hingga 5 pagi dan caj kesesakan pada waktu puncak bukan jalan penyelesaian kepada usaha mengurangkan kos sara hidup.
Sepatutnya kerajaan memberi keutamaan pada waktu puncak kerana ketika golongan pekerja yang merupakan pembayar cukai menggunakan kemudahan tersebut.
“Berdasarkan kajian lampau CASSA rakyat Malaysia sebenarnya tidak kisah dikenakan bayaran pada perkhidmatan yang diberikan oleh kerajaan.
“Logiknya tidak ada kerajaan yang mampu memberi perkhidmatan secara percuma kepada rakyat, cuma berpada-pada,” katanya sambil berkata bukankah lebih baik caj tol pada waktu puncak lebih murah berbanding waktu biasa.
Pada waktu biasa tidak mengapa jika caj yang dikenakan pada 30 peratus dan malam pada kadar penuh.
“Kalau melaksanakan mekanisme yang dicadangkan ia hanya menguntungkan industri sahaja kerana pada waktu digunakan untuk menghantar produk dan barangan.
“Persoalannya adakah pemansuhan tol itu dapat diterjemahkan kepada pengurangan kos pengguna melalui penurunan kos barangan atau perkhidmatan?” ujar George.
Ringkasan cadangan CASSA adalah seperti berikut:
- Kadar tol lebih murah pada waktu puncak
- Diskaun 30 peratus pada waktu biasa
- Caj penuh pada waktu malam
- Paling penting pemansuhan tol beri impak kepada penurunan kos sara hidup
- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
- Bagaimana caj kesesakan sama dengan ‘pemansuhan tol’? – Ka Siong
- 4 tol dicadang hapus, ganti caj kesesakan