Home Nasional Tiada keperluan ubah SOP FRU, kata KPN

Tiada keperluan ubah SOP FRU, kata KPN

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun memakaikan pingat Jasa Pahlawan Negara kepada pegawai dan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan pada Hari Peringatan Ulang Tahun Penubuhan Pasukan FRU Ke-63 di Pangkalan Pasukan Simpanan Persekutuan, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 26 FEBRUARI 2019.

KUALA LUMPUR – Prosedur Operasi Standard (SOP) yang sedang digunapakai Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) ketika ini mencukupi untuk menangani isu ketenteraman awam.

Sehubungan itu, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, tiada keperluan untuk mengubahnya kecuali wujud keperluan untuk menambah baik sistem.

“SOP FRU sentiasa melalui proses penambahbaikan dari semasa ke semasa dan kalau ada cadangan baharu dan keperluan barulah kita akan memperbaikinya.

“Namun pada pandangan saya, ketika ini SOP sedia ada mencukupi menangani isu,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Peringatan Ulang Tahun Ke-63 FRU di Pasukan Gerakan Khas, Cheras di sini.

Ketika ini, katanya, polis sedang memberi tumpuan untuk menambah anggota FRU di Pusta dan juga di beberapa negeri di Sabah Sarawak.

Setakat ini, FRU memiliki kekuatan 2,500 anggota termasuk 2 Pegawai Wanita dan 88 anggota wanita pelbagai pangkat.

“Kita telahpun mengemukakan kepada agensi Pusat untuk menambah FRU di Sabah dan Sarawak termasuklah mahu membesarkan unit wanita ke Johor, Pulau Pinang dan yang berpengkalan di sini.

“Kertas cadangan berkenaan telah dihantar kepada kerajaan Pusat semasa sambutan ke-61 pada 2017.

“Ia bukan sahaja membabitkan pembesaran FRU, tetapi juga Unit Tindakan Khas (UTK) dan VAT69,” tegasnya lagi.

Ditanya sama ada FRU akan dikerah ke Pilihan Raya Kecil Semenhyih 2 Mac ini, Mohamad Fuzi berkata, setakat ini tidak wujud keperluan itu.

“Kekuatan 1,500 anggota polis yang ada ditugaskan sudah memadai untuk menjaga keadaan dan perjalanan PRK,” ujarnya lagi. – MalaysiaGazette