Home Nasional Adib mengaku ditarik dan dipukul

Adib mengaku ditarik dan dipukul

Saksi ke-16 inkues kes Muhammad ADib, Pembantu Pegawai Pembedahan, Mohd. Ashraf Baruji.

SHAH ALAM –  Mangsa kes rusuhan kuil, Muhammad Adib Mohd. Kassim mengaku dipukul, kata Pembantu Pegawai Pembedahan, Mohd. Ashraf Baruji.

Saksi ke-16 prosiding inkues kematian Muhammad Adib itu hari ini mendedahkan anggota bomba itu juga menceritakan detik-detik dia ditarik ketika rusuhan di kuil pada 27 November 2018 yang lalu. 

Menurut Mohd. Ashraf,  dia sering berkomunikasi dengan Muhammad Adib semasa anggota bomba itu dirawat di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Institut Jantung Negara (IJN).

Muhammad Adib memaklumkannya menggunakan tangan kirinya membuat isyarat ditarik pada satu malam selepas rawatan fisioterapi ringan, katanya.

Malah katanya, Muhammad Adib juga mengaku dipukul apabila menganggukkan kepalanya ketika ditanya. 

Pada mulanya kata Ashraf,  Muhammad Adib enggan bercerita namun mengubah fikiran apabila menarik lengan baju pembantu pegawai pembedahan itu untuk menjawab soalannya. 

“Ada malam itu, baru lepas fisioterapi (latihan tangan ringan) bila saya mengemaskan Adib saya tanyakan soalan Adib ingat tak apa yang jadi? Pada mulanya Adib menggelengkan kepala. 

“Saya tanya lagi, takpelah bila Adib dah ready nak cerita bagitahu je. Kemudian bila saya memusingkan badan untuk beredar Adib menarik lengan baju saya.

“Adib angguk dan tunjuk isyarat nak menulis. Saya tanya kepada Adib, Adib kena tarik ke? 

“Dia menggunakan tangan kiri menunjukkan isyarat ditarik ( bahu kiri). Saya tanya lagi Adib jatuh ke? Adib menggelengkan kepala dan buat isyarat tangan pusingkan tangan kiri (tidak).

“Saya tanya lagi, Adib kena pukul ke? Adib angguk,” katanya kepada Mahkamah Koroner hari ini. 

Soalan itu kata Ashraf spontan terpacul dari mulutnya yang sering berkomunikasi dengan anggota bomba yang dirawat selama 21 hari di wad ICU IJN.

Tambahnya, Adib kemudiannya menjawab kepada Ashraf, dia hanya sedar apabila berada di  IJN dengan menggunakan isyarat tangannya. 

“Dan kemudian saya tanyakan lagi Adib sedar time (masa) Adib kat mana? 

“Dia guna tangan kiri buat isyarat di sini (di ICU IJN),” tambahnya lagi sebelum memaklumkan menghentikan soalan kepada Muhammad Adib untuk membiarkannya berehat. 

Ashraf pada mulanya menceritakan tugasnya semasa Muhammad Adib dirawat di ICU IJN adalah individu yang bertanggungjawab menjalankan fisioterapi ringan setiap malam. 

Tugasnya juga adalah membantu jururawat memposisikan Adib, mencuci luka-luka di badannya.-MalaysiaGazette