Home Nasional PH tidak sanggup tarik subsidi haji RM12,000

PH tidak sanggup tarik subsidi haji RM12,000

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Zuraida Kamaruddin berkata penurunan harga itu diharapkan dapat membantu golongan B40 untuk memiliki rumah mampu milik.
Zuraida Kamaruddin.

SEMENYIH – Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH), Zuraida Kamaruddin berkata kerajaan tidak sanggup untuk menarik balik subsidi Tabung Haji (TH) yang selama ini diberikan kepada jemaah haji.

Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu, PH harus mencari jalan bagi memberikan pemahaman kepada rakyat bahawa tidak selamanya kerajaan boleh memberikan subsidi kepada semua jemaah haji pada masa akan datang.

“Kami tidak sanggup nak tarik balik subsidi ini kepada rakyat kerana mereka tidak faham. Jadi kita beri keterangan sedikit demi sedikit agar mereka faham.

“Kerajaan masih lagi beri subsidi haji kepada rakyat. Walaupun pahit kita nak telan, duit tidak banyak, tapi hal tabung haji dan orang Islam tetap dipastikan mereka dapat subsidi ini,” katanya di hadapan lebih 200 pengundi Kampung Sungai Kembung, Semenyih, semalam.

Hadir sama Timbalan Presiden PH, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Besar Selangor, Amiruddin Shaari dan Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, kerajaan tidak pernah mengeluarkan kenyataan berhubung penghapusan subsidi kos mengerjakan haji bagi bakal jemaah yang pergi atas tiket rayuan atau sebagai pengiring mahram.

Sebaliknya, perkara itu adalah atas budi bicara TH yang akan membuat pertimbangan berdasarkan kemampuan individu terbabit.

Dalam pada itu, Zuraida hairan bagaimana TH boleh memberikan subsidi kepada peserta haji sebanyak RM12,000 seorang sedangkan badan itu mengalami kerugian.

“Sebenarnya ramai rakyat Malaysia yang tidak tahu selama ini dia pergi haji, subsidi sebanyak RM12,000. Saya sendiri tidak tahu, kalau tidak menjadi menteri kabinet sampai sekarang saya tidak tahu.

“Kita bayar RM10,000 untuk tunaikan haji, ketika itu sudah ada subsidi sebanyak RM12,000 sepatutnya tambang haji kesemuanya RM22,000, tapi kerajaan BN buat subsidi RM12,000.

“Saya berasa berdosa, sebab bukan nak kasi kepada orang susah. Tapi saya mampu nak cari RM22,000 nak tunaikan haji, tapi yang isunya adalah RM12,000,” katanya.

Pada Disember tahun lalu, TH dilaporkan kekurangan RM4 bilion wang pendeposit berbanding asetnya sejak tahun 2017.

Bagi tahun 2016, aset TH dinyatakan berjumlah RM63.6 bilion berbanding wang pendepositnya, sebanyak RM67.7 bilion. -MalaysiaGazette