LONDON – Brendan Rodgers dilantik sebagai pengurus baharu Leicester City dengan kontrak selama tiga tahun.
Bekas pengurus Liverpool, Rodgers berjaya menjulang tujuh trofi domestik selepas hampir tiga musim mengambil alih kelab Celtic.
Dia meninggalkan skuadnya itu dengan lapan mata di kedudukan teratas Liga Perdana Scotland.
Brendan, 46, sepatutnya bersama Foxes sehingga Jun 2022 dan kelihatan berada di Stadium King Power bagi perlawanan awal pagi tadi liga menentang Brighton dan Hove Albion.
“Rodgers akan mengemudi skuad buat kali pertama dalam perlawanan di Watford, Ahad ini,” kata Leicester dalam satu kenyataan.
Ahad lalu, Leicester memecat Claude Puel selepas kekalahan 4-1 kepada Crystal Palace yang menyebabkan juara Liga Perdana Inggeris 2015/16 itu berada di kedudukan ke-12.
Bagaimanapun, The Foxes berjaya melakar kemenangan 2-1 ke atas Brighton awal pagi tadi dengan gol dijaringkan Demarai Gray dan penyerang Jamie Vardy.
Sementara itu, Neil Lennon kembali ke Celtic sehingga berakhirnya musim ini bagi menggantikan kekosongan yang ditinggal Rodgers. – MalaysiaGazette