OTTAWA – Selepas Amerika Syarikat (AS), kini Kanada memohon untuk melanjutkan sekatan sekatan ke atas kerajaan Venezuela pimpinan Presiden Nicolas Maduro.
Agensi melaporkan ketika ini Kanada sedang berbincang dengan rakan sekutunya selain mengenakan tekanan untuk Maduro meletak jawatan.
AS, Kanada dan kebanyakan negara Amerika Latin mengiktiraf Presiden Dewan Perhimpunan Kebangsaan, Juan Guaido sebagai pemimpin sah Venezuela, sekali gus menolak kepimpinan Maduro.
Menurut Menteri Luar Kanada, Chrystia Freeland, pihaknya kini sedang berbincang senarai sekatan diperluaskan dengan cara paling berkesan sebagai alternatif tekanan untuk Maduro.
Bagaimanapun, Freeland tidak mendedahkan sebarang butiran berhubung perkara tersebut kepada media selepas persidangan blok Kumpulan Lima bertemu di Bogota, Colombia bagi membincangkan krisis Venezuela semalam.
Sebelum ini, AS bukan sahaja telah mengenakan sekatan ekonomi terhadap Venezuela untuk menekan Maduro sebaliknya menggesa sekutu lain membekukan aset syarikat minyak tempatan.
Ini juga selepas berlakunya keganasan dengan sekatan bantuan kemanusiaan daripada sampai ke negara itu hujung minggu lalu oleh Maduro.
Sekurang-kurangnya lebih 300 terbunuh di sebuah pekan sempadan Venezuela ketika Maduro menyekat bantuan kemanusiaan dari Colombia dan Brazil daripada memasuki negara ini Sabtu lepas.
BBC yang memetik kumpulan hak asasi manusia berkata, sekurang-kurangnya dua orang terbunuh akibat ditembak termasuk seorang remaja berusia 14 tahun.
Tentera Venezuela turut menggunakan gas pemedih mata dan peluru getah ke atas penunjuk perasaan yang cuba mengambil dan membawa bantuan tersebut.
Pembangkang pula mahu bantuan itu sampai kepada rakyat yang terjejas akibat krisis ekonomi negara ini ketika Maduro mendakwa langkah terbabit sebagai satu ancaman keselamatan.
Maduro juga telah menamatkan hubungan diplomatik dengan Bogota dan mengarahkan kakitangan diplomat negara itu meninggalkan Venezuela dalam tempoh 24 jam.
Oleh kerana kira-kira 30 juta penduduk Venezuela berdepan masalah kekurangan makanan dan penyakit selain kematian, pembangkang berharap tentera dapat menghalang tindakan Maduro ketika ini.
Bekalan seperti makanan serta perubatan diharap dibenarkan masuk bagi membantu penduduk negara itu yang sedang menghadapi krisis terbesar mereka.–MalaysiaGazette