Home Nasional Kain rentang provokasi gunakan nama calon BN

Kain rentang provokasi gunakan nama calon BN

Calon BN PRK N.24 Semenyih, Zakaria Hanafi (kanan) bersama jenteranya menunjukkan laporan polis yang dibuat dan kain rentang berunsur fitnah yang dipasang di sekitar kawasan DUN Semenyih di Balai Polis Semenyih, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 27 FEBRUARI 2019

SEMENYIH – Tinggal dua hari sahaja lagi masa untuk berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, nampaknya sudah ada pihak yang semakin galak melakukan provokasi politik kepada parti lawan.

Sepatutnya, mereka yang bertanding masuk gear lima untuk berkempen dengan memastikan tidak ada seorang pengundi pun yang terlepas pandang untuk ditemui.

Namun hari ini, calon Barisan Nasional (BN), Zakaria Hanafi tersentak apabila mendapati ada pihak cuba menconteng arang ke mukanya dengan menggunakan gambar yang diletak pada kain rentang dan turut ditulis dengan perkataan yang menjengkelkan.

Lebih menyakitkan hatinya, apabila pada kain rentang itu ditulis pula ayat-ayat yang seolah-olah menunjukkan ia seperti tulisan darinya.

Beliau yang membuat laporan polis berhubung perkara itu di Balai Polis Semenyih di sini menyatakan dalam laporannya bahawa, tidak pernah mengarahkan mana-mana individu atau kumpulan tertentu memasang kain rentang berunsurkan provokasi seperti itu.

“Pagi tadi selepas adakan program jumpa pengundi-pengundi di Pasar Beranang, kita jumpa poster-poster yang tergantung di tepi jalan utama.

“Benda banyak melibatkan peribadi saya. Kenyataan ini tidak benar. Saya pegang prinsip kita berkempen secara bersihlah, gentlemen. Kita amalkan kempen bersih dan sihat,” kata Hanafi ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan tersebut.

Menurutnya lagi, perkara itu disedari kira-kira pukul 8.15 pagi selepas bersarapan bersama jentera dan penduduk di pekan Beranang.

MGF27022019_CALON BN REPORT POLIS01

Katanya, beliau dimaklumkan bahawa kain rentang yang serupa turut dipasang di Bandar Seri Putra dan Taman Jenaris dekat Prima Saujana.

“Kawan-kawan kita minta tolong. Ini provokasi dan serangan peribadi dan kenyataan ini saya tidak buat. Tak terlintas di hati saya nak buat begini,” ujarnya.

Antara ayat yang ditulis pada kain rentang tersebut iaitu, “Saya janji bawa Rosmah jika BN menang di Semenyih, “Unilah BN jika ingin rompakan Rosmah berulang, “1MDB dan Jho Low rekaan PH untuk jatuhkan BN YAB Datuk Seri Najib Razak dan YAB Datin Seri Rosmah Mansur tidak bersalah”.

Dalam pada itu katanya, pada saat akhir ini beliau memberikan fokus untuk berjumpa dengan pengundi-pengundi dan setakat ini
langkah tersebut baru 80 peratus disempurnakan.

“Saya tidak letak keyakinan untuk menang pada masa ini tetapi saya akan tetap berusaha,” ujarnya. – MalaysiaGazette