Home Politik Mahu perintah berkurung agar tak banyak gejala negatif, tapi hapus tol waktu...

Mahu perintah berkurung agar tak banyak gejala negatif, tapi hapus tol waktu malam?

Datuk M. Sambanthan

SEMENYIH – Jika sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail mendedahkan kerajaan sedang mempertimbangkan secara ‘serius’ cadangan mengadakan perintah berkurung untuk golongan remaja bagi mengelak gejala tidak sihat.

Cadangan tersebut mendapat pelbagai reaksi apabila ramai berasa positif pada awal tahun ini.

Bagaimanapun, cadangan itu kini menimbulkan tanda tanya kepada Presiden Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF), Datuk M. Sambathan yang menganggap pendirian kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak konsisten apabila mengumumkan kadar tol bagi empat lebuh raya akan dihapuskan pada waktu bukan puncak.

Jelasnya ketika bercakap dengan MalaysiaGazette, beliau musykil kerana walaupun memberikan cadangan mengurangkan gejala tidak sihat pada waktu malam, kemudahan juga diberikan oleh kerajaan pada waktu bukan puncak seperti penghapusan tol.

“Sebenarnya saya tidak faham, anda buat cadangan yang saya sebenarnya cukup pasti hanya semata-mata mahu rakyat melihat betapa efisyennya anda berbanding kerajaan terdahulu.

“Kemudian anda juga berikan kemudahan seperti penghapusan tol untuk waktu yang anda sebenarnya tahu banyak gejala tidak sihat dan negatif boleh menular, antaranya lumba haram dalam kalangan remaja.

“Saya bukan bercakap tentang golongan yang bekerja pada syif malam, saya bercakap tentang kumpulan yang boleh guna kemudahan serta faedah yang diberikan oleh kerajaan sewenang-wenangnya.

“Mengapa tidak kadar tol bagi empat le­buh raya kendalian Gamuda Berhad (Gamuda) antara pukul 11 malam dan 5 pagi iaitu penggunaan le­buh raya secara percuma diberikan pada waktu siang.

“Ketika itu ramai boleh memperoleh manfaat daripada yang keluar malam itu, sebenarnya pada saya ini tidak lebih daripada untuk pancing undi selain menjaja cerita kononnya janji manifesto hapus tol sudah berjaya dilaksanakan.

“Nasihat saya pada rakyat Semenyih khasnya, janganlah sesekali terperangkap dengan permainan PH yang penuh dengan pusingan ‘U’,” katanya.

Beliau mengulas pengumuman kerajaan yang telah memulakan proses rundingan dengan Gamuda bagi mengambil alih konsesi keempat-empat lebuh raya.

Lebuh raya berkenaan ialah Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint), Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) dan Tero­wong Smart.

“Dengan kejayaan pengambilalihan tersebut, kerajaan bercadang menghapuskan mekanisme kutipan tol sedia ada.

“Sebagai ganti congestion charge (caj kesesakan) akan diperkenalkan iaitu pengguna lebuh raya hanya dikenakan bayaran sama dengan kadar tol sedia ada untuk waktu puncak selama enam jam sehari,” kata Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Tambah kenyataan itu, pengguna juga akan menikmati diskaun 30 peratus berbanding kadar tol sedia ada bagi penggunaan waktu biasa.

Sementara cadangan melaksanakan perintah berkurung bagi remaja di bawah umur 18 tahun sememangnya mampu membendung gejala negatif dan tidak bermoral yang semakin membarah ketika ini dikemukakan awal tahun ini.

Perintah berkurung juga disifatkan boleh mendisiplinkan remaja apatah lagi golongan berkenaan bakal memimpin negara pada masa akan datang.

Jelas Sambathan yang juga Ahli Dewan Negara, beliau cukup kecewa dengan pelbagai janji ditaburkan ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N24 Semenyih yang belum tentu dapat dilaksanakan kelak.

“Sedangkan janji manifesto itu sendiri belum dapat dilaksanakan malah diminta oleh pimpinan PH lebih masa sehingga tempoh lima tahun akan datang, adakah rakyat Semenyih perlu menunggu tempoh Pilihan Raya Umum pula?

“Saya rasa cukuplah, hentikan permainan politik yang akhirnya menjadi mangsa adalah penduduk di kawasan ini, kemudian apabila ada PRK lain, anda buat lagi janji. Yang di sini sendiri tidak tertunai.

“Kerajaan Negeri Selangor juga ada pengumuman saya dengar, sudah 10 tahun akan mentadbir, banyak yang belum dilaksanakan, sudah-sudahlah,” katanya. –MalaysiaGazette