Home Nasional Anthony kena jawab kenapa isteri masuk mesyuarat rasmi

Anthony kena jawab kenapa isteri masuk mesyuarat rasmi

Isteri Menteri Pengangkutan didakwa berada dalam mesyuarat di China pada Januari lalu. foto FB MCA

KUALA LUMPUR – Menteri Pengangkutan diminta memberi penjelasan mengapa isterinya turut berada di dalam mesyuarat rasmi yang dihadirinya ketika berada di China pada Januari lalu.

Gambar isteri Anthony telah dirakam dalam mesyuarat bersama Menteri Pengangkutan China, Li Xiaopeng.

Kedua-dua pihak mengadakan mesyuarat rasmi mengenai kerjasama dalam bidang pengangkutan antara kedua negara.

Ketua Biro Komunikasi Antarabangsa dan Diplomasi MCA, Tee Ching Seng yang mempersoalkan perkara itu berkata, adakah perlu Anthony membawa isterinya bagi melaksanakan misi negara.

Katanya, sudah tentu isteri menteri berkenaan mengiringinya jika perbelanjaan perjalanan ditanggung sendiri.

“Itu tidak dipersoalkan. Tetapi rasa ingin tahu adalah jika isteri menteri itu bukan pegawai kerajaan, mengapa dia boleh menghadiri mesyuarat rasmi?

“Bolehkah dia menghadiri mesyuarat rasmi arahan kerajaan? Dalam apa jawatan rasmi yang beliau pegang untuk menghadiri mesyuarat berkenaan?,” soalnya.

Di bawah peraturan diplomatik antarabangsa, hanya Ketua Negara atau Ketua Kerajaan akan membawa pasangan mereka “permaisuri” atau “wanita pertama” untuk mengambil bahagian dalam acara rasmi apabila mereka ke luar negara.

Ini bertujuan untuk meningkatkan dan melengkapkan lawatan negeri, menunjukkan tahap keintiman antara dua negara dan juga merupakan etika diplomatik antarabangsa.

Katanya, memandangkan kerajaan Pakatan Harapan sudah menetapkan peraturan lawatan luar dan memperkenalkan etika diplomatik dengan piawaian dan peraturan tertentu, menteri harus mematuhinya.

Pada Oktober tahun lalu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali telah memaklumkan menteri tidak boleh membawa pasangan mereka dalam urusan rasmi luar negara yang tidak melebihi 7 hari.

Larangan itu bertujuan menjimatkan kos perbelanjan kerajaan.

Menteri dibenarkan pergi dengan 2 pegawai sahaja dan isteri hanya boleh iring menteri jika lawatan kerja itu lebih 7 hari.
Kos perbelanjaan akan ditanggung sendiri, jika menteri bawa isteri kurang dari 7 hari lawatan. – MalaysiaGazette