Friday, November 15, 2024
Home Nasional Isteri jadi wakil kerana MB dipanggil menghadap ke istana

Isteri jadi wakil kerana MB dipanggil menghadap ke istana

Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun.

SEREMBAN  – Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun hari ini menjelaskan bahawa beliau tidak dapat menghadiri satu program di sebuah sekolah menengah di Sikamat di sini semalam kerana dipanggil menghadap ke istana pada waktu yang sama.

Katanya, sebaliknya pihak sekolah sendiri yang sebelum itu telah menjemput kedua-dua beliau dan isteri, Datin Seri Wan Hasni Wan Yusof, ke majlis itu yang meminta Wan Hasni mewakilinya selepas dimaklumkan beliau tidak dapat hadir.

Beliau berkata perkara itu bukanlah sesuatu yang disengajakan dan pihak sekolah juga sudah maklum terlebih dahulu bahawa hanya isterinya sahaja yang dapat menghadiri majlis itu, katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Bantuan Persekolahan dan Perasmian Mesyuarat Agung PIBG SMK Warisan Puteri di sini.

Beliau mengulas kritikan bekas Ketua Cabang PKR Rembau, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Che’gu Bard di laman sosial Facebook yang mempertikaikan tindakan Wan Hasni mewakili Menteri Besar merasmikan program di SMK Dato’ Mohd Redza itu.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata beliau tidak nampak sebarang masalah timbul dalam isu tersebut dan berharap perkara kecil tidak dijadikan isu kerana banyak perkara lain yang perlu ditangani oleh para pemimpin.

“Sesiapa pun boleh mempertikaikan apa-apa aktiviti tetapi bagi saya, yang penting ialah aktiviti sekolah berjalan dengan lancar. Sebelum ini, ada juga isteri pemimpin yang mewakili suami mereka untuk hadir ke program tertentu seperti mengaji atau membabitkan hal ehwal wanita tetapi tidak pula dipertikaikan,” katanya. – BERNAMA