Home Dunia Syarikat penerbangan global terjejas

Syarikat penerbangan global terjejas

Air Canada antara syarikat penerbangan yang terjejas susulan ketegangan hubungan India dan Pakistan.

LONDON – Syarikat penerbangan global terpaksa mengalih dan membatalkan penerbangan selepas Pakistan menembak pesawat tempur India.

Kejadian itu memaksa penutupan udara dan lapangan terbang, sekali gus mengganggu laluan penting bagi pesawat komersial.

Penerbangan United Continental Holdings Inc. dari Newark Liberty International Airport ke Delhi telah dialihkan semula ke London dan kemudian dibatalkan, manakala penerbangan Newark-Mumbai beralih ke Frankfurt.

Penerbangan Air Canada dari Toronto ke Delhi berpatah balik pada malam Selasa ke Ireland dan dibatalkan ketika tiba di Kanada. Penerbangan Vancouver-Delhi juga dibatalkan.

Negara Asia Selatan itu terlibat dalam konfrontasi ketenteraan yang paling serius dalam beberapa dekad, selepas India memaklumkan telah membunuh ratusan militan dalam kem di Pakistan.

Pakistan membalas dengan menembak jatuh dua pesawat India dan menahan seorang juruterbang. India juga telah menembak sebuah jet Pakistan.

Pakistan telah menutup ruang udaranya, manakala lapangan terbang di India Utara ditutup beberapa jam sebelum sekatan dibatalkan.

Ketegangan ini telah menganggu laluan terpendek untuk penerbangan seperti Singapura ke London, Kuala Lumpur ke Frankfurt dan Hong Kong ke Dubai, berdasarkan data yang disusun oleh gcmap.com.

United sedang berusaha untuk mengatur alternatif untuk pelanggan tiba ke destinasi mereka.

“Kami sedang mengawasi keadaan ini dengan teliti dan berhubung dengan pihak berkuasa kerajaan yang berkaitan,” kata Charlie Hobart, jurucakap syarikat.

Air Canada yang mengendalikan penerbangan Toronto-Mumbai pada Rabu yang menggunakan laluan yang berbeza, kata Peter Fitzpatrick, jurucakap syarikat.

Dalam pada itu, perkhidmatan penerbangan dibatalkan ke Delhi dari Toronto pada malam Rabu, dan dari Vancouver pada hari Khamis.

Beberapa laluan utama benua yang menghubungkan Eropah dan Asia turut terjejas.

Singapore Airlines Ltd. membatalkan penerbangan Frankfurt-Singapura. Laluan ke London dan Frankfurt terpaksa dialihkan, menyebabkan syarikat penerbangan terpaksa membuat perhentian bagi mendapatkan bahan api di Dubai atau Mumbai, kata syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan.

Penerbangan Thai Airways International Pcl membatalkan penerbangan antara Bangkok dan London. Penutupan ruang udara juga akan menjejaskan penerbangan ke 11 negara di Eropah, kata syarikat penerbangan itu.

SriLankan Airlines membatalkan penerbangan ke bandar-bandar Pakistan di Karachi dan Lahore pada hari Khamis berikutan penutupan ruang udara.

Emiriah Arab Bersatu menggantung penerbangan ke Pakistan, lapor Al Arabiya.

Kejadian itu turut memberi kesan kepada operasi domestik di India. – MalaysiaGazette