Home Nasional Rakyat diminta beri masa kepada kerajaan ambil alih konsesi tol

Rakyat diminta beri masa kepada kerajaan ambil alih konsesi tol

Faiz Fadzil
Faiz Fadzil

KUALA LUMPUR – Rakyat diharap dapat memberikan masa secukupnya kepada kerajaan untuk menamatkan tol satu demi satu kerana ia mengambil masa dan kos yang tinggi.

Walaupun kos pengambilalihan tol ini tinggi, namun langkah itu lebih afdal berbanding tindakan pembayaran subsidi tol untuk mengelakkan kenaikan kadar seperti yang dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Dalam jangka masa panjang, tindakan pengambilalihan tol oleh kerajaan Pakan Harapan (PH) akan memberikan penjimatan terbaik untuk poket pembayar cukai.

Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Faiz Fadzil berkata, pihaknya menyambut baik keputusan kerajaan PH untuk meneruskan pemansuhan konsesi tol secara berperingkat-peringkat, selain memenuhi janji manifesto PH Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Dalam usaha mengurangkan kos sara hidup rakyat secara signifikan dan segera, Pemuda Amanah mencadangkan jalan tol yang menyaksikan trafik kenderaan tinggi, khususnya di kawasan bandar diberi keutamaan untuk dimansuhkan.

Beliau berharap, kerajaan dapat mengeluarkan statistik peratusan pengguna di empat tol yang akan menerima penjimatan menerusi langkah itu supaya rakyat memahami manfaatnya dan juga menjawab kritikan tidak berasas pembangkang.

“Pelan menamatkan konsesi tol secara berperingkat adalah keputusan terbaik kerana ia dapat menunaikan janji PH kepada rakyat dan pada masa sama, tidak memudaratkan fiskal Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Tambah beliau, CIMB Research menyatakan rundingan pengambilalihan tol antara kerajaan PH dan Gamuda akan dilakukan secara “willing buyer-willing seller”, bukan secara paksa.

“Tindakan ini disambut baik oleh Pemuda Amanah kerana membuktikan kerajaan pro-perniagaan dan juga peka dengan sentimen syarikat swasta, selain memberi isyarat positif kepada komuniti pelaburan tempatan dan antarabangsa mengenai keterbukaan kerajaan PH,” tambahnya.

Faiz berkata, perbincangan kerajaan dengan Gamuda Berhad untuk mengambil alih empat lebuh raya adalah fasa kedua pemansuhan tol di negara ini setelah memansuhkan tiga laluan motosikal melibatkan jambatan pertama dan kedua Pulau Pinang serta Lebuhraya Laluan Kedua, Johor bermula 1 Januari lalu.

Empat lebuh raya itu ialah Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (Kesas) and Terowong SMART. – MalaysiaGazette