Home Ekonomi Konsesi Spanco sudah tamat – Guan Eng

Konsesi Spanco sudah tamat – Guan Eng

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bercakap kepada media pada Majlis Penyerahan Cek Kepada Yayasan Restu Ke Arah Pengurusan Mencetak dan Menyebar Al-Quran di Kompleks Nasyrul Quran, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 28 FEBRUARI 2019

PUTRAJAYA – Penyelenggaraan kereta sewa untuk kegunaan rasmi kerajaan kini dilaksanakan secara tender terbuka.

Ia dijalankan selepas konsesi 25 tahun kerajaan dengan Spanco Sdn. Bhd. (Spanco) yang dimeterai pada 30 Oktober 1993 sudah berakhir pada akhir Disember tahun lalu.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, bagaimanapun Spanco mendapat lanjutan enam bulan bagi membolehkan tender terbuka kepada syarikat lain dilakukan.

Menurutnya, tarikh akhir tender itu adalah pada hari ini.

“Hampir 26 tahun Spanco Sdn Bhd mendapat kontrak ini dan tiba masanya Kementerian Kewangan di bawah kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) untuk tidak menyambung kontrak itu kepada syarikat berkenaan.

“Sebaliknya, kita akan lakukan menerusi kaedah tender terbuka, yang mungkin petang ini akan dimulakan.

“Kita akan umumkan selepas Kementerian Kewangan membuat penilaian,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan cek RM5 juta kepada Yayasan Restu di Kompleks Nasyrul Quran di Putrajaya hari ini.

Peruntukan itu adalah untuk pengurusan percetakan dan menyebar al-Quran oleh Nasyrul Quran.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof; Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah dan Pengerusi Yayasan Restu, Datuk Abdul Latif Mirasa.

Guan Eng berkata, beliau tidak tahu jumlah syarikat konsesi yang telah mengemukakan tender tersebut. – MalaysiaGazette