Home Utama Rakyat Johor perlu perjuang isu harga air dijual kepada Singapura – Dr...

Rakyat Johor perlu perjuang isu harga air dijual kepada Singapura – Dr Mahathir

Mahathir
Dr Mahathir Mohamad

PUTRAJAYA – Rakyat Johor perlu bijak memperjuangkan isu eksploitasi oleh Singapura terutamanya isu harga air murah yang dijual kepada negara itu, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata Singapura sebagai negara maju dengan pendapatan per kapita US$18,000 tidak seharusnya membeli air daripada negara dengan perdapatan per kapita tidak sampai US$10,000 pada harga murah iaitu 3 sen bagi 1,000 gelen sejak tahun 1926 lagi.

“Singapura tumbuh dengan pesat kerana kita bekal air kepada mereka, tetapi saya dapati orang Johor sendiri jarang bercakap mengenai perkara ini.

“Mereka menunggu rundingan oleh kerajaan pusat. Kerajaan negeri seolah-olah tidak tertekan.

“Kerajaan negeri juga perlu selalu sebut perkara ini, orang kaya bergantung kepada orang miskin, ini bukan sahaja tidak logik tetapi ‘morally wrong’. Kita kena tekan perkara ini,” katanya ketika berucap pada Sesi Pemukiman Kerajaan Negeri Johor bersama kepimpinan Kerajaan Persekutuan, di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata Johor akan mendapat banyak keuntungan jika negeri itu dapat mengurus bekalan air dan elektrik yang disalurkan kepada Singapura dengan baik.

“Ini perlu diperjuangkan, tetapi kita tidak begitu bijak dalam mempertahan atau mempromosikan masalah kita dan keburukan yang berlaku kepada kita,” katanya.

Dr Mahathir berkata Johor juga perlu mengkaji kelebihan dan kelemahan negeri itu berbanding kelebihan dan kekurangan yang ada pada Singapura dalam usaha menandingi kemajuan negara tersebut.

Sebagai contoh, masalah kekurangan tanah dan kos sara hidup tinggi di Singapura boleh memberi kelebihan kepada Johor terutamanya dalam aspek menarik pelaburan asing, katanya.

“Johor mempunyai tanah yang lebih daripada Singapura dengan harga yang lebih murah, apabila ada pelaburan yang memerlukan tanah yang luas ini memberi kelebihan kepada Johor berbanding Singapura.

“Johor juga sudah tentu lebih rendah kos sara hidupnya daripada Singapura dan ini dengan sendirinya menarik pelaburan kerana kos pelaburan jauh lebih rendah daripada Singapura,” katanya.

Dari segi pelabuhan pula, Dr Mahathir berkata Johor boleh menggunakan kedudukan strategiknya untuk menarik kedatangan kapal dagang.

“Dahulu Singapura dianggap pelabuhan strategik kerana kapal menggunakan layar dan angin, tetapi di zaman ini kapal menggunakan enjin dan mereka tidak lagi anggap Singapura sebagai strategik.

“Bahkan Johor juga sama strategik kedudukannya dengan Singapura. Ini kita tidak mencari manfaat daripadanya,” katanya.

— BERNAMA