SEMENYIH – Pertama kali turun berkempen di PRK DUN Semenyih, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak lekang daripada mengkritik Datuk Seri Najib Razak.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, kerajaan akan memastikan Najib disabitkan kesalahan kerana dakwaan mencuri duit rakyat semasa memerintah Putrajaya.
“(Orang bertanya) Najib sudah kena dakwa tetapi tidak ditahan lagi? Masih belum pakai baju oren (baju lokap SPRM) lagi.
“Tidak lama lagi dia (Najib) pakai lah baju oren itu. Macam orang lain jugak. (Tan Sri) Isa Samad sudah pakai dulu, jadi lama-lama semua (orang UMNO) pakai oren semua tidak ada biru lagi,” katanya yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) di hadapan lebih 1,000 pengunjung program Santai 2 Roda Semenyih di perkarangan Tesco Semenyih petang tadi.
Turut hadir Naib Presiden PH, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Ketua Pemuda PH, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Dalam pada itu, Mahathir hairan dengan segelintir masyarakat yang menggelarkan Najib sebagai Bossku sedangkan beliau kini dituduh dengan pelbagai dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram.
“Kita tidak peduli dia (Najib) curi duit, dia curi duit kita sahaja bukan orang lain. Orang gelar dia hero, bossku.
“Bossku the hero. Hero penyangak. Saya tidak faham ambil pencuri dan jadi boss.
“Barangkali mereka sama-sama pencuri. Sebab itu pilih pencuri, saya mendapati bahawa dia datang ke sini bukan main hebat dan meriah,” katanya lagi.
Najib yang juga bekas Presiden UMNO sebelum ini mendapat perhatian umum apabila turun buat kali kedua ke Semenyih pada 14 Februari lalu.
Dicatatkan Najib disambut oleh ratusan pengunjung yang turut hadir ke pusat beli-belah yang sama dengan kedatangan Mahathir hari ini.
Untuk rekod, Najib dihadapkan di mahkamah dengan 42 pertuduhan jenayah pengubahan wang haram, pecah amanah dan salah guna kuasa melibatkan skandal 1MDB dan SRC International Sdn Bhd. -MalaysiaGazette